Monday, November 9, 2009

KREATIFKAH KITA?





Minggu lepas aku sempat bersama pada Majlis Pelancaran Hari Inovasi KKM di PICC. Ramai yang hadir. Majlis ini dirasmikan oleh Y.B. Dato' Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan kita.
Di samping majlis perasmian, ada juga pameran diadakan. Aku rasa seluruh warga KKM di Malaysia ini ada yang diwakili. Apapun, bos atau wakil hadir untuk menyatakan sokongan warga KKM kepada Hari ini. Itulah penting. Pertandingan inovasi dan laman web turut diadakan. Mereka yang menang terima hadiah. Mereka yang gagal puashati kerana dapat turut serta.
Aku ingin menyentuh berkenaan inovasi ini. Kalaulah bos-bos termasuk diri kita menggalakkan inovasi baik dari segi kreatif membuat perubahan cara bekerja atau sikap, aku pasti kita akan lebih maju. Inilah yang terjadi dengan penubuhan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja atau KMK contohnya. Cadangan diberi. Cubaan dibuat. Kalau sesuai dilaksanakan.
Selama 20 tahun bekerja aku lihat kita punyai ramai penjawat awam yang betul-betul kreatif. Cuba kita tanya diri kita. Adakah kita sebagai bos pernah memberi peluang kepada orang bawahan kita mencetuskan atau memberi idea berkenaan suasana kerja mereka? Aku rasa dan yakin, amat kurang! Kita hanya mengutarakan idea kita. Mereka tidak dilihat. Malah untuk memberi orang bawahan peluang pun kurang. Itulah keistimewaan kita!
Kita tukar atau ubah stail. Bagaimana kita dengar idea orang bawahan kita. Contohnya kalau dia ahli fotografi, biar dia cadangkan gambar yang diambil untuk digunakan di dalam penerbitan kita. Bagaimana? Kepada aku, mereka ini kreatif dan beridea. Terimalah. Mereka ada rasional mencadangkannya.
Inilah sebenarnya antara objektif tersurat Hari Inovasi ini diadakan. Marilah kita gunakan Hari ini sebagai satu wadah untuk kita memberi kreativiti kita kepada kebaikan tempat kita bekerja.

No comments:

Post a Comment