Thursday, December 31, 2009

2010 PERLU DIHAYATI
















MENJELANG tengah malam ini, kita akan melangkah ke tahun baru masihi 2010. Bagaimanakah persediaan kita?





Itulah yang sering orang tanya kita. Untuk mereka yang memang sudah bersedia, menjelang tahun baru, mereka masih seperti biasa. Mereka tidak perlu membuat sambutan yang menyebabkan mereka macam diserang histeria. Buat apa kerana tahun baru perlu dihayati sepenuhnya. Bermakna kita perlu meneruskan kehidupan. Umur kita semakin tua. Hidup semakin susah kalau tidak dilayari dengan sempurna.





Di mana-mana pun, orang akan memperkatakan dunia tahun baru. Begitupun, apakah minda kita sudah diubah pemikirannya? Apakah kehidupan hari ini mempunyai perbezaan daripada semalam? Ataupun semalam hanya mengajar kita menjadi lebih jahat?





Jadi, untuk merealisasikan kemunculan tahun 2010 ini lebih dihayati, pandang sekeliling kita. Harap-harap kehidupan kita ada berubah sedikit. Contohnya kalau dulu kita tidak ada pasangan hidup sekarang sudah ada...itu tanda baiknya. Tunggu pula anak. Apabila sudah ada anak...tunggu pula cara pembesaran mereka mengikut rentak yang kita mahu. Mendidik mereka emnjadi manusia atau insan berguna...itulah yang perlu diutamakan.





Saya berharap esok 2010 akan membawa satu macam perubahan yang amat ketara kepada kehidupan kita. Berubahlah sedikit demi sedikit kerana dunia ini semakin kecil. Dunia tanpa sempadan bermakna juga dunia yang cukup kompleks.





Kita perlu ucapkan selamat datang kepada 2010 dengan penuh ceria.

Wednesday, December 23, 2009

LIDAH LAGI TERGIGIT






HANYA orang berkeluarga atau bersuami isteri dan beranak pinak tahu betapa indah dan pahitnya hidup berkeluarga. Waktu bercinta dan berpasangan, memang semuanya indah. Keindahan kala berdua...tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.
Aku sengaja berkongsi hidup berumahtangga ini. 20 tahun aku berkeluarga. Isteri masih satu. Anak-anak 3 orang. Ribut taufan yang sederhana memang sudah biasa ditempuhi. Kekadang kedua-dua angin ini menambah rasa kasih sayang yang semakin intim. Itulah kehidupanku.
Tahukah anda orang yang masih single pasti banyak kekurangannya. Ini kata-kata pakar. Mereka walaupun berjaya dalam dunia mereka tetapi mereka pasti ada yang tidak mencukupi. Cuba tanya sendiri kepada golongan ini. Aku bukan mencerca golongan ini tetapi hendak berkongsi sedikit pengalaman kita berkeluarga.
Kita berkeluarga cukup hebat. Adakalanya berperang tanpa sempadan. Adakalanya perang dingin entah kerana sebab-sebab yang terlalu kecil. Adakalanya kasih sayang memuncak kala memerlukan seseorang. Kita jangan bandingkan dirik kita dengan segolongan manusia yang kahwin jangka pendek. Namun lepas bercerai ataupun sudah jadi janda atau duda....wauuuu...prestasi mereka cukup tinggi. Saham naik melambung!
Kata P.Ramlee lidah lagi tergigit. Memang betul. Jangan lidah tersebut putus sudahlah. Kita berselisihfaham dengan pasangan kita biarlah ada batasnya. Seorang bising sangat, kita diamkan diri atau bising sikit.
Melayari alam rumahtangga bukan untuk dua tiga tahun. Ia pelayaran yang cukup panjang. Saya teringat seorang bapa saudara saya yang kematian isterinya. Selepas hampir 20 tahun baru dia ingin berkahwin semula. Tabik buat bapa saudara ini. Nafsu? Kita boleh luahkan di mana-mana sahaja? Apa yang amat susah ialah menseimbangkan pelayaran kehidupan berumahtangga. Rumahtangga mana yang tidak pernah berkocak? Semua kita merasainya.
Jadi, terpulang kepada diri kita untuk melayarinya. Kalau kita berjaya, kita akan bahagia bukan sahaja di dunia ini tetapi di akhirat nanti.

Monday, December 21, 2009

KESIAN KAWAN-KAWAN BERPERANG MENGHAPUSKAN DENGGI DAN CHIKUNGUNYA





DENGGI adalah pembunuh yang perlu diwaspadakan. Tanpa mempedulikannya, nyawa kita akan berada di dalam keadaan bahaya. Mengapa?
Kehadiran nyamuk Aedes menandakan penduduk di sesuatu lokasi itu tinggal di dalam kawasan kotor. Bermakna, sekeliling dan dalam rumah mereka amat tercemar dan dihuni oleh pelbagai jenis nyamuk.
Mahukah kita digelar penyanggak pengotor? Memang tidak mahu! Hanya mereka yang kurang sivic minded akan bertindak demikian. Cuba elakkan diri kita daripada bersikap demikian. Kita takut digelarkan pengotor.
Kesian kawan-kawan aku di Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Saban waktu mereka terpaksa berada di lapangan. Kedua-dua penyakit ini telah merubah keadaan hidup mereka. Mereka jarang bersama keluarga. Mereka kurang bercakap sosial. Mereka hanya memberi tumpuan kepada usaha memusnahkan kedua-dua penyakit ini.
Kesian juga kepada mereka kerana masyarakat kurang memberi bantuan. Mana tidaknya telah berbulan-bulan usaha memusnahkan penyakit ini tidak berjaya. Masyarakat umum hanya duduk berdiam diri. Masyarakat hanya ketakutan apabila diri atau keluarga mereka terkena penyakit ini.
Ayuhlah masyarakat...bantulah kami dalam memusnahkan penyakit ini. Kalau tidak, sampai bila pun usaha ini akan gagal. Tugas masyarakat senang sahaja -bantu dan beri kerjasama dengan menyokong kawan-kawan kami ini.
Tanpoa kerjasama ini, alamat kami di KKM akan berkampung panjang di lapangan. Kami tidak kisah tetapi kami ada had. Keluarga perlu didekati juga. Kebajikan kami perlu dijaga juga.
Jadi, kerjasama orang ramai begitu diperlukan!

Friday, December 18, 2009

TAHUN BARU ISLAM KURANG DIKENALI MUSLIM?






TAHUKAH kita hari ini 1 Muharram 1431 Hijrah? Saya pasti ada yang tidak kenal tahun hijrah ini. Kita sebenarnya terlalu sukakan tahun Masihi.
Tahun ini amat kurang kita raikan. Tiada kelibat pemuda Islam membawa bendera atau menyanyi di jalan-jalan untuk meraikan ketibaan bulan Islam ini. Kalau dihayati perjuangan Hijrah amat sinonim dengan perjalanan syiar Islam. Mudahnya tanpa hijrah tiadalah Islam.
Kalau diteliti penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah dahulu membawa banyak perubahan dan keuntungan kepada Islam. Islam dan umatnya disegani. Pengikutnya disanjung. Malah ramai masuk Islam tanpa rasa takut kepada orang-orang kafir. Inilah hakikatnya.
Apa yang kita perlu buat sekarang? Kita juga boleh berhijrah. Hijrahkanlah diri kita daripada perbuatan jahat kepada menjadi umat bersikap baik. Macam-macam perkara kita boleh berubah. Kalau kita kaki tikam nombor, kita perlu membuangnya jauh-jauh. Kalau kita kaki ketagih rokok, kurangkan ataupun hapuskan kegianan merokok dalam diri kita.
Di samping itu, kita juga perlu banyak muhasabah diri. Umar Al-Khatab antara sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling banyak muhasabah diri. Umar banyak menangis apabila mengenang zaman jahilliahnya. Sewaktu menjadi Khalifah pun Umar manusia paling takut kepada balasan Allah Taala walaupun baginda salah seorang yang dijanjikan Syurga. Baginda kerap pengsan apabila mendengar bacaan Al-Quran dan nama ALLAH.
Kita bagaimana? Allah sahaja yang tahu. Marilah kita banyak mengenal diri daripada kita mengenal orang. Kalau kita tidak tahu siapakah diri kita, itu sebabnya kita menjadi ego dan rakus.
Muhasabahkan diri kita setiap saat!

Thursday, December 17, 2009

MENGHAYATI HARGA DIRI




KATA pepatah kita, kalau mendongak bintang di langit jangan lupa rumput di bumi. Kata-kata ini sangat indah. Namun begitulah segelintir kita. Apabila sudah di atas, lupa orang di bawah. Namun kalau susah, baru hendak minta tolong rumput di bumi.
Pepatah ini diindahkan lagi dengan kata-kata "ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk".
Sengaja saya kaitkan perkara ini dengan sesetengah sikap kita manusia. Kala susah minta tolong. Kalau senang orang disusahkan. Keikhlasan tiada. Kejahatan banyak.
Saya sebenarnya diajukan oleh segelintir kawan teman berkenaan sikap begini. Jawapan saya mudah sahaja. Orang begini memang susah untuk berkawan. Kalau berkawan pun dia akan pilih orang-orang tertentu sahaja. Maknanya, kalau orang tersebut secocok dengan sikap dia, dia akan berkawan.
Jadi, kalau mencari kawan carilah yang akan bersama kita menangis di kala senang dan di kala susah. Jangan apabila kita ditimpa musibah, kita ditinggalkan. Manakala dia goyang kaki sambil bersiul.
Pernah seorang pujangga Islam memperkatakan soal sikap begini. Orang tersebut, katanya, akan merana apabila dibalas Allah Taala. Namun Allah maha pemurah. Keinsafan sahaja yang akan menyedarkannya.
Justeru itu, jadilah manusia serba sederhana seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Wednesday, December 16, 2009

DUNIA BELUM KIAMAT







SUDAH menonton filem 2012? Tentu menyeronokkan dan menggerunkan kepada mereka yang menghayatinya.



Betulkah Kiamat boleh ditentukan sebegitu? Terlalu banyak persoalan. Kepada orang Muslim, ia sesuatu yang mustahil ditentukan. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri apabila ditanya hal ini, menyatakan tidak tahu. Semuanya kerja Allah Taala.



Begitupun, kita mesti bersiap sedia. Maknanya segala amalan yang disuruh Allah Taala hendaklah diusahakan bersungguh-sungguh. Apa yang dilarangnya hendaklah dipatuhi. Inilah tugas kita.



Apapun, saya hanya tertarik ketekunan dan keterperincian pengusaha filem Barat membuat filem. Mereka sebenarnya amat faham adanya dunia kedua atau akhirat. Sayang sekali mereka tidak memahami keadaan sebenarnya kekacauan yang berlaku menjelangnya kiamat. Unsur-unsur yang diperbuat sebenarnya hanyalah bayangan kosong atau khayalan. Kulit ada tetapi pengisiannya kosong sahaja.



Namun begitu, fahamilah dunia ini akan berakhir. Kita akan menjelajah ke dunia abadi.

Sunday, December 13, 2009

KEMBALI BERTUGAS DI NEGERI ASAL







TERIMA kasih kawan-kawan di Telekesihatan, KKM. Majlis perpisahan kekadang membawa kepiluan juga. Mana tidaknya. Di samping makan, kita disuruh berucap. Kita juga diberikan hadiah kenangan.
Tahu tak apa kenangan yang paling paling manis apabila tibanya hari perpisahan? Tidak lain ialah ucapan 'tahniah' daripada kawan-kawan kerana dapat kembali ke tempat asal. Memang saya minta dari awal posting bailik ke tempat asal. Mana tidaknya, semua keluarga tidak ikut. Itu yang agak beratnya. Tinggallah kita keseorangan. Sunyi sepi apalagi bila tibanya hujung minggu!
Namun ilmu banyak ditimba. Di samping tugas-tugas baru di Telekesihatan, meeting dengan pelbagai peringkat atasan dan bawahan sesuatu yang amat mengujakan di ibu pejabat KKM. Kalau di tempat sendiri, Pengarah Negeri paling besar. Di sini KSU dan KPK yang paling besar. Seronok dapat bermeeting dengan mereka.
Tugas pun berbeza. Di negeri kita terpaksa buat pelbagai kerja hingga berjumpa masyarakat. Itu yang bestnya. Kita pun dilatih untuk berhadapan dengan orang ramai. Tetapi di KKM, kita banyak berkubang di pejabat. Buat kertas kerja, meeting, call dan seumpamanya.
Begitupun, terima kasih buat Dr. Amir dan kawan-kawan yang banyak mengajar ilmu baru kepada saya. Memang ada perbezaan dengan tugas lepas. Insya-Allah kita akan bertugas sama lagi suatu hari nanti. Buat kawan-kawan yang tinggal, berusahalah dengan lebih kuat.

Thursday, December 10, 2009

PUSAT PANGGILAN KESIHATAN KEBANGSAAN






DUA hari penuh menyertai Kursus Kesedaran Pusat Panggilan Kesihatan Kebangsaan amat mengujakan. Mana tidaknya, banyak input dan ilmu baru diperolehi. Keadaan bertambah rancak apabila dua orang konsultan - Jeremy dan Ken, memberi input yang cukup baik.
Sebenarnya Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Bahagian Telekesihatan bercadang untuk mewujudkan Pusat Panggilan Kesihatan Kebangsaan atau dikenali sebagai Call Centre ataupun Contact Centre. Apapun, penerangan yang jelas perlu diberikan kepada penjawat awam KKM yang akan mewujudkannya dahulu. Kalau tidak, matlamat untuk mewujudkannya akan samar-samar.
Pusat ini sama seperti yang ada di Australia, United Kingdom dan beberapa negara Barat. Ia amat releven apalagi di dalam sebuah negara yang sedang menuju ke arah pembangunan teknologi maklumat yang drastik.
KKM berharap Pusat ini akan dapat direalisasikan menjelang Rancangan Malaysia Kesepuluh. Inisiatif untuk menubuhkannya memang telah ada sejak tertubuhnya Putrajaya dan MSC. Apa yang perlu dibuktikan ialah berupayakah tidak kita mewujudkan Pusat ini? Ia penting kepada masyarakat negara ini terutama di dalam memahami dan mendekatkan diri kepada penjagaan kesihatan diri serta keluarga secara lebih berkesan dan menyeluruh.
Saya amat yakin Pusat ini dapat dibangunkan dengan sokongan banyak pihak terutamanya MDec dan pihak atasan KKM. Pusat ini dirasakan akan menjadi jhambatan utama KKM Malaysia khasnya di dalam mendekatkan rakyat kepada bidang kesihatan dan perubatan. Dengan demimkian, rakyat tidak begitu perlu berkunjung ke premis Kesihatan semata-mata untuk mendapatkan sedikit rawatan seperti pening kepala.
Nasihat dan tunjukajar daripada Pusat Panggilan Kesihatan ini sudah memandai. Begitu juga kalau mereka ingin mendapat rtawatan lebih intensif. Pusat ini akan memberi panduan menyeluruh kepada mereka untuk ke mana mereka perlu pergi.
Kita berharap Pusat ini akan menjadi realiti dalam masa terdekat. Saya yakin peruntukan tidak begitu menjadi masalah. Apa yang akan dihadapi ialah bentuk dan siapakah yang paling layak mengendlaikannya. Bahagian Telekesihatan tiada sebarang kesukaran untuk mewujudkannya. Apa yang penting kerjasama daripada banyak pihak.

Monday, December 7, 2009

PANGGILAN SERIKIN






LAMA tak ke Serikin. Entah tiba-tiba Bana dan Lela ajak, terus mahu.
Biasanya malas kerana dua perkara - kesesakan lalu lintas dan poket pasti kering. Betul dan itulah yang dialami.
Namun Serikin berubah sekelip mata. Serikin jauh berbanding Tebedu. Tebedu walaupun hebat sedikit masa dulu tetapi terletak di dalam kawasan orang. Serikin tidak. Kita tidak khuatir kalau diculik. Serikin dalam wilayah kita.
Memang banyak barang. Murah tapi harga kekadang tinggi juga kerana ikut limpahan manusia yang datang. Manusia datang dari seluruh ceruk rantau Malaysia dan mungkin Brunei Darussalam. Beli apa sahaja yaang mampu dibeli.
Jalan ke Serikin cukup baik. Ada tempat sepanjang jalan boleh berhenti dan beli hasil hutan. Midin ada. Keladi ada. Rebung ada. Pulut ada. Banyak lagi...semua boleh dibeli. Harganya kita sahaja yang boleh menawarkannya.
Serikin membolehkan penduduk tempatan meningkatkan pendapatan. Sebab itu rumah mereka cukup cantik. Laman rumah bertile. Kereta pelbagai jenis menghuninya. Namun penduduknya tetap tenang dan ramah. Masyarakat Bidayuh di sini cukup memberi sokongan kepada penjual dari tanah sebelah sempadan. Mereka sediakan stor untuk mereka menyimpan barangan. Bayaran amat berpatutan.
Bolehlah anda yang belum datang ke Serikin, berkunjung ke sini. Kalau pernah, pasti anda tidak jemu-jemu nak datang lagi terutama yang kaki jual barang.
Aku sempat beli seluar BMW. Tak dapat pandu BMW, pakai seluar berjenamanya sudah cukup. Lela dan Bana apalagi beli lebih kerana mereka pandai bisnes. Kakak cari barang saja.
Mudah-mudahan nanti Serikin akan betul-betul menjadi daya tarikan pelancongan daerah Bau. Moga ia limpanan pendapatan setempat dan rakyat sebelah.

Friday, December 4, 2009

APABILA IPAR DUAI BERJUMPA!






MEMANG indah apabila dapat berjumpa, makan, berbual dan bergurau senda dengan beberapa ipar dan biras. Kali ini aku dapat berjumpa dengan Reduan alias Frank, Kamal dan Bana. Isteri-isteri kami adik-beradik. Si Frank kahwin dengan Miriani alias Ani. Si Kamal kahwin dengan Dewi alias Rahmaz. Si Bana kahwin dengan Lela alias Elok. Itulah antara kami. Oooo...aku pula kahwin dengan kakak mereka iaitu Rosma alias Wati. Nampaknya kami orang luar yang beruntung besar. Mana tidaknya dapat isteri yang comel komel atau cute ataupun bahasa isteri kami JAWAK!
Keadaan ini ditambah pula dengan keserasian kami beripar duai. Apabila bertemu...pasti riuh-rendah. Turut hadir ialah si Mimi alias Mazrah dan ibu mentua kami yang biasa orang panggil Umik (perempuan tua dalam adik-beradik).
Kebetulan aku ambil anakku, Hanisah yang diculik semalaman dengan mereka di Santubong Resort. Maklum si anak-anak ini nak bersama petunggal atau sepupunya. Bukan apa nak mandi di kolam dan makan bersama. Indahnya dunia ini.
Si Frank dan isterinya, si Ani ketagih buah durian. Dengar cerita beli dua guni durian ketika melangkah kaki ke Sarikei dan dipajoh(dimakan) di Kampung Rejang. Wauuu...lesap buah durian di Sarikei. Sayang sekali kami tak bersama. Kalau tidak...habis buah durian tersebut. Maklumlah di Labuan kekurangan buah-buah sebegini. Apa yang ada buah-buah import. Maklum orang Labuan banyak duit!
Dipendekkan cerita...pertemuan kami pertemuan menyeronokkan. Lama tidak bersama. Maka, si Kamal belilah sate, ikan bakar, lauk pauk dan sedikit buah dabai. Orang Labuan terpaksa pandai makan dabai sebab dah kahwin dan beranak orang Sarawak. Makanlah kami dengan makanan yang banyak. Masuk campur juga si Mimi dan Umik. Sayang isteriku tak ikut serta kerana malas hari ini. Penat!
Seronok benar kami. Anak-anak kami pula menjangkau semakin besar. Tak rasa kita semakin tua dan anak-anak bakal mengambil tempat. Tak apalah. Kalau umur panjang, dapatlah kami semua menerima menantu yang baik-baik. Baik buruknya terpulang kepada pemilihan anak-anak sendiri. Samalah macam mentua kami menerima kami. Nasibnya baik kerana mendapat menantu seperti kami yang rajin beli buah durian dan langsat? Aduh...aduh...sejuk tangan mentua mendengarnya.
Kami rancang nak berkenduri kendara bersama-sama nanti. Maklum anak-anak masih kecil dan dapat dibawa bersama. Moga-moga keinginan kami ini kesampaian juga.
Jadi...buat Abam, Hafiz...janganlah jeles. Kita dulu. Mana tahu sedikit masa lagi kita dapat bersama-sama sekeluarga besar.
Aku cadangkan kita berkumpul dengan menamakan perjumpaan ini sebagai " Perjumpaan Keluarga Majidi". Tempat...nanti kita cari. Insya-Allah!!!

Thursday, December 3, 2009

MENGENANG MANGSA HIV/AIDS





TERLUPA Hari 1 Disember. Hari ini merupakan Hari AIDS Sedunia. Lama di Putrajaya ini dan bertapa di Aras 6, Blok E1 aku agak sepi daripada aktiviti-aktiviti berkaitan kesihatan awam. itulah kelemahan padaku.
Namun begitu, adakalanya terkenang beberapa aktiviti yang diukir bersama teman-teman sedikit masa dulu. Salah satu ialah menjelang 1 Disember kami akan sambut Hari AIDS. Kami atur program. Malah kami jemput beberapa orang Pembawa HIV Positif untuk bersama program kami. Alhamdulillah, sokongan orang ramai dan mangsa AIDS cukup baik.
Aku rasa terharu kerana teman-teman masih mengingati hari ini. Walaupun berada di dalam keadaan kelembapan ekonomi, aktiviti sambutan Hari AIDS tetap dibuat. Di Sarawak teman-teman menyambutnya di Pusat Maklumat Islam di Simpang Tiga. Walaupun tidak hadir, mendengar sambutan sudah cukup mengenangkanku dengan kepayahan warga KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mendekati pesakit dan penyakit membahaya ini. Setidak-tidaknya, sambutan sebegini suatu pengukur kesedaran kita terhadap penyakit berbahaya ini. Apakah yang boleh kita bantu mangsa AIDS iin?
Banyak temanku. nasihatkan adik atau anak atau kawan kita daripada terjerumus ke dalam kancah bahaya ini. Beri sokongan kepada aktiviti yang dijalankan. Muliakan hidup kita dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. Platformnya banyak. Wadahnya di mana-mana.
Buat kawan-kawan penghidap AIDS atau Pembawa HIV, kuatkan tekad kamu untuk terus hidup. Bergaullah dengan mereka yang tiada AIDS. Jangan takut kerana kami sentiasa bersama anda.
TERUSKAN PERJUANGAN MEMUSNAHKAN AIDS. JANGAN SALAHKAN PESAKIT AIDS. MEREKA SEBENARNYA MANGSA KEADAAN.
AMALKAN HIDUP SIHAT SETIAP WAKTU!

Tuesday, December 1, 2009

MUSIM BUAH DURIAN DAN LANGSAT DI KUCHING



MUSIM Raja Buah sudah mari ke Kuching. Bertimbun-timbun buah durian di sekitar bandaraya Kuching. Sebab itulah bandaraya Kuching berbau buah durian. Namun ianya enak dan sedap apabila dimakan.
Bandaraya Kuching juga diserang oleh orang luar. Itulah tibanya adik ipar aku serta keluarganya dari Labuan semata-mata untuk menikmati buah ini. Makanlah selagi kita dapat makan. Namun ingatlah juga rasa diri sendiri. Jangan terlalu lahap makan, kesihatan diri terancam. Apabila kesihatan terganggu, alamat terpaksa menghadap Hospital. Inilah nasihat kekanda ini.
Aku ada petua untuk menikmati durian ini lebih sedap.
Anda boleh ambil isinya saja dan buat tempoyak. Atau anda buatlah bubur durian. Ataupun anda makan durian ini dengan sagu. Ataupun anda buatlah ice cream. Tetapi ingat...jangan lupa bagi aku juga. Aku memang suka makanan ini. Cuma tidak berkesempatan untuk memakannya.
Di Kuching anda boleh dapatkan durian yang baik ini dari Pasir Pandak, Bau, Pasar Satok dan Serian. Kami dengan teman-teman dapat rasa durian Serian minggu lepas. Memang sedap. Jaga-jaga juga kalau makannya kerana mulut berbau teruk.
Sebab itu orang putih tidak mahu makan. Bau...very smilly...katanya.
Langsat dan durian pun ada. Wauuu...kawan-kawan, semuanya sedap. Buah rambutan kopek-kopek. Ada rambutan budak sekolah...entah apa namanya lagi. Makan sajalah. Kalau sudah tamat musim buah...terkenang juga dengan buah-buah ini.
Jadi...makanlah buah-buahan tempatan. Buah-buahan import...bila-bila masa boleh makan.