Monday, April 26, 2010

Kuingin Di Riba Ibuku

Inginku letakkan kepalaku
Di riba mulia ibuku
Untuk kali terakhir
Sebelum kututup mataku
Meninggal alam fana ini
Ribamu syurgaku
Ribamu ubatku
Ribamu bantal suciku
Ribamu syafaatku
Kulunjur kaki hina ini lurus
Sebelum ia jadi sesejuk salju
Terasa kedinginan meresap
Terusan ke jantungku
Menerjah kesumat
Salam terakhir buat semua
Ampuni diriku ini
Terlanjur semuanya
Aku akhirnya keseorangan
Berdinding kegelapan

Hasil :
Hadi

Wednesday, March 31, 2010

PROSTARIAN DI TANAH MERAH, PERAK






SEPANJANG 26 - 28 Mac 2010, kita seramai 15 orang prostarian berkampung di Tanah Merah Resort, Perak untuk menyertai Konvensyen PROSTAR Kebangsaan. Kira-kira 800 orang hadir termasuk beberapa pemerhati dari seluruh Malaysia. Apa yang paling menyeronokkan ialah pertemuan semula beberapa rakan lama. Inilah dipanggil Jejak Kasih.
Begitupun, kita menerima layanan cukup baik daripada pihak tuan rumah. Makan cukup. Semua cukup. Cuma beberapa perkara kita tidak sedap badan. Mana tidaknya kita sering disindir tajam oleh Presiden Kelab PROSTAR Malaysia. Namun begitu kita berjaya tangkiskan tomahan itu dengan menunjukkan komitmen serius tim kita dalam semua acara kecuali sukaneka kerana kelewatan ketibaan kita dari LCCT.
Menang kalah adat permainan. Penyertaan penting. Kalau menang itu kelebihan tetapi kalau tidak menang memang ada orang yang lebih bersedia. Kepadaku, penyertaan kita adalah sesuatu yang berfaedah kerana kita membawa prostarian daripada Kelab kita dari Kampung Keranji dan Kampung Haji Baki. Kelainannya kita bawa anak-anak remaja dari Kampung. Best tak?
Indahnya kita bertemu dan bermesra dengan pelbagai lapisan hidup dalam Kelab PROSTAR Malaysia.
Nasihat saya kepada Kelab PROSTAR Malaysia jangan tidak bergantung kepada pihak KKM. Banyak kelemahan kalau KKM tidak ikut serta. Lihat sahaja waktu majlis perasmian penutup. Begitu juga beberapa acara diadakan terpaksa diketepikan penghakimannya kerana masa terlalu suntuk. Lain kali, susun dengan penuh komitmen sendiri.
Kita juga enjoy dan bukan semuanya datang untuk menyertai pertandingan. Kami lihat ramai delegasi hanya datang jalan-jalan. Maklum tempat yang digunakan penuh dengan kehangatan untuk bermanja.
Jangan gunakan duit yang ada dihanyut dengan kegembiraan diri sahaja.
Bagaimanapun tahniah kepada Kelab PROSTAR Malaysia di bawah pimpinan Dr. Ismail Bin Lasa kerana berjaya menganjurkan Konvensyen ini. Dengar-dengar jugalah suara 'rakyat' di bawah. Menjerit biar bertempat.

Monday, March 22, 2010

ILMU BERTANDANG KE MASJID






KAMI aJK-ajk Masjid Al-Muhajirin, Matang Jaya, Kuching sebenarnya sedang dan telah berusaha untuk memperbanyakkan limpahan ilmu ke dalam Masjid ini. Sehubungan itulah, 7 hari seminggu selepas solat Maghrib akan adalah kuliah. Di samping itu, setiap lepas Subuh hari Sabtu dan Ahad, kuliah turut diadakan. Ini tidaklah termasuk ceramah khas dan bulanan yang dirancang untuk memeriahkan bulan tersebut.
Kami amat bersyukur kerana ilmu ini disampaikan oleh pelbagai Ustaz yang cukup berkarisma dan kepakaran mereka tidak boleh dipertikaikan. Nama-nama seperti Ustaz Hassan Basri Bin Abdullah pada hari Ahad menyampaikan kuliah mengenai pelbagai isu semasa. Hari Isnin pula Haji Morshidi Haji Udin mengajar kami selok-belok pembacaan Al-Quran yang betul. Hari Selasa Ustaz Izzuan Bin Mohd. Yusop dengan tafsiran Al-Qurannya. Hari Rabu Ustaz Haji Abdu Qadir Albas dengan Feqah. Manakala Hari Kahmis dengan bacaan Yassin dan tahlil. Hari Jumaat pengajaran Sirah Nabi Muhammad s.a.w. oleh Ustah Hisham. Kisah Hadis disampaikan oleh Ustaz Haji Muhammad Bin Ismail pada hari Sabtu. Subuh Sabtu oleh Ustaz Afnan dan Subuh Ahad oleh Ustaz Haji Md Ahir Bin Ahmad.
Namun sedih juga kerana bilangan jemaah mendengar agak kurang daripada bilangan yang ada di Matang Jaya. Mungkin mereka belum sedar. Ini ilmu FOC. Tiada bayaran. Kalau kita melanjutkan pelajaran ke IPT, wang terpaksa dikeluarkan dengan banyak. Ini free. Ya...memang kalau ilmu Allah begitu berat kita hendak menerimanya.
Jadi, kalau anda sebagai Ustaz atau ilmuan hendak berceramah di Masjid kami, beritahu sahaja. Kami dengan dengan tangan terbuka akan menyambutnya.

Sunday, March 21, 2010

KURA-KURAKU 15 TAHUN


15 tahun dahulu aku ke Pasar Satok bersama isteri dan anak. Di sana kami sempat membeli seekor kura-kira. Ia amat kecil. Ia cukup comel dan jawak. Sizenya sebesar siling 50 sen.
Hari ini, ia semakin membesar. Ada sebesar kertas A4. Nakal juga. Anak-anakku menamakannya ADY!. Entah di mana mereka mendapat nama tersebut.
Apabila disebut namanya, kura-kura itu memberi maklumbalas. Ini makhluk Allah. Ia juga bernyawa dan berakal. Cuma kita manusia ini diberikan Allah lebih daripada segala-gala makhluk yang ada. Namun kalau kita sebaliknya, nakal dan tidak berperikemanusiaan, jadilah kita lebih hina daripada binatang.
Aku ada terbaca dan terlihat seekor kura-kura yang berusia beratus tahun. Aku takut kerana kura-kura kami ini akan lama hidup berbanding kami. Jadi, untuk kepastian dan kesinambungan hidupnya, kami jaga ia dengan baik. Kami bagi cukup makan. Kami cuci ia selalu. Adakalanya kami lepasnya untuk bersenam.
Sesiapa nak perlihara Ady kami, datanglah ke rumah kami. Bolehlah kami bagi.

Saturday, March 20, 2010

BILA ANAK SEMAKIN DEWASA...HATI TERGENTAR






AKU teringat sabda Nabi Muhammad s.a.w. berkenaan anak-anak....anak-anak laksana kain putih! Itu waktu mereka masih bayi dan masih baru mengenali dunia. Kelahiran mereka memang dinantikan oleh setiap pasangan yang mempunyai perkahwinan bermotifkan mendapat anak. Duniaku dan isteri semakin banyak berubah. Anak-anak semakin mendewasakan diri. Keadaan mereka seperti kata ahli psikologis, Stanly Hall...dunia remaja dunia penuh pancaraoba.
Aku semakin gelisah. Hati semakin gentar. Maklum ada anak-anak yang menjangkau dunia ini. Silap langkah, gentar hati ini terus berkocak lagi. Iqbal, Haziq semakin matang. Mereka semakin besar. Aku dan isteri semakin rendah. Mereka berdua semakin meningkat besar.
Hanisah semakin dara. Belum cukup dara. Seminggu lepas, beli cermin mata. Wauuu...rupanya aku punya anak dara yang semakin cantik dan membingungkan. Bukan perangai dia berubah tapi cukup gentar kerana dia semakin cantik. Cute. Aduhhhh...mak. Begini rupanya mak dan bapak dulu khuatirkan kita. Maklum kami anak-anak yang cukup cantik dan kacak!
Doaku sering diuntukkan untuk anak-anak. Moga mereka bahagia dan mendewasakan diri ikut kehendak setiap ibu bapa.

Tuesday, February 16, 2010

DENGGI OH DENGGI






SEMALAM kami sempat ke Kampung Baru, Samarahan. Ada kempen pencegahan denggi. Rakan-rakan dari Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan mengadakan kempen gotong-royong memerangi denggi. Aduhhh...hujan lebat. Begitupun majlis dapat disempurnakan dengan kehaditran Y.B. Tuan Haji Abdul Karim Haji Rahman Hamzah, ADUN N14 Asajaya. Beliau memang cukup bersedia untuk berhadapan dengan orang ramai berbicara berkenaan kebersihan, penyakit, vektor dan juga sikap kita berkenaan kebersihan.
Kami di Jabatan Kesihatan begitu teruja dengan sokongan beberapa Yang Berhormat dalam pencegahan denggi dan chikungunya ini. Bagaimanapun, masyarakat kita lambat menyedari bahaya denggi ini. Akibatnya ada yang kematian ahli keluarga kerana demam denggi. Mereka seolah-olah membiarkan serangan nyamuk Aedes begitu sahaja. Inilah tingkahlaku yang kedapatan di kalangan masyarakat kita.
Kami begitu khuatir kerana banyak kes denggi dan chikungunya berlaku akhir-akhir ini. Keadaan ini dituju kepada kami kerana seolah-olah kami tidak menanganinya. Hampir semua lokasi terlibat. Walaupun banyak disiarkan dalam media tetapi masyarakat kita masih syok sendiri. Mereka tidak khuatir pun ahli keluarga mereka sakit. Sebab itulah ada yang lambat dibawa ke klinik. Sudah teruk baru hendak membawa mereka ke klinik. Sekiranya berlaku kematian, mereka akan menyalahkan orang Kesihatan kerana tidak mengubat ahli keluarga mereka dengan baik.
Sedar tak kita bahawa orang Kesihatan telah lama berkampung di hutan dan jalanan. Mereka sahaja yang sibuk membunuh nyamuk Aedes. Mereka ke hulu ke hilir membawa mesin fogging. Mereka bawa abate. Mereka kadang-kadang bawa cangkul dan parang. Mereka tebas rumput. Orang ramai pula duduk melihat orang Kesihatan buat fogging. Lebih nakal lagi, anak-anak terloncat-loncat dalam asap fogging. Waduh...begini susahlah pak!
jadi, apakah kita hendak duduk sahaja?

Tuesday, February 9, 2010

TERKILAN PROSTAR SARAWAK LEMBAP
















Program Sihat Untuk Remaja (PROSTAR) sedikit dulu digelar Program Sihat Tanpa AIDS Untuk Remaja. Beberapa detik kebelakangan ini ditukar baru. Namun fungsi dan peranannya masih sealiran dengan asal kewujudannya. Cuma remaja diajak berkehidupan lebih positif. Menjauhkan gejala-gejala sosial dan tidak anti sosial.

Namun di Sarawak perjalanan PROSTAR agak lembap. Saya rasa bukannya kerana pegawai-pegawai JKNS tetapi kesukaran dalam beberapa perkara. Begitupun, tahun 2010 ini, kita bercadang untuk membangunkannya semula. Jangan PROSTAR gah pada nama sahaja tetapi tiada aktiviti. Tahun lepas ada beberapa aktiviti yang dijalankan. Apa yang agak sukar diceritakan ialah ia mengikut masa dan tempat. Macam di Kuching ia bolehlah diberikan pujian namun di tempat lain terlalu sedikit.

Kalau ada sesiapa yang mempunyai idea yang bagus untuk merancakkan semula program ini, sila panjangkan kepada saya atau rakan-rakan di JKNS ini. Kami dah semakin susut usia tetapi idea ada. Kami takut idea kami tidak sealiran dengan remaja hari ini.

Satu lagi masalah tahun ini ialah kekangan duit. Bak kata pepatah orang kurang berada, ada duit semua boleh jalan. Kurang duit...tahu-tahu sahajalah. Duit belakang kira yang penting aktiviti jalan. Kami pun dulu kurang duit tetapi berkat sokongan padu banyak pihak termasuk pelajar dan guru, kami dapat berjalan deras.

Itulah saya ingin menghimpunkan prostarian bulan ini tetapi masa terlondeh sikit. Kita ada program lain. Aktiviti tetap akan diteruskan tetapi sedikit lambat. Lepas ini saya berharap untuk menggerakkan enjin PROSTAR dengan menggunakan enjin B747. Mudah-mudahan mendapat maklumbalas daripada sekalian warga prostarian.

Bagaimana kawan-kawan ada idea tak?

Monday, February 8, 2010

BULAN SAFAR TIADA SIAL
















AKU masih teringat seawal usiaku dulu apabila tibanya bulan Safar. Di tempat kulahir masih kedapatan masyarakatnya mengamalkan mandi Safar. Entah silap siapa perkara ini turut diamalkan di sini. Aku sendiri berkesempatan mandi Safar. Memang segar mandi kerana cuaca adakalanya panas dan adakalanya hujan. Kalau hujan, berpeluhlah dahi kerana kesejukan.

Namun anak-anak kita sekarang tidak merasainya lagi. Syukur ke hadrat Allah kerana perkara khurafat ini telah hapus dalam masyarakat kita. Aku berani katakan tiada amalan mandi Safar lagi dalam kehidupan masyarakat Islam di negeri ini. Kalau kita melihat beberapa masyarakat lain, mereka masih mengamalkan mandi seperti ini di beberapa anak sungai. Itu adat dan agama mereka. Kita tidak payah ikut.

Ringkasnya bulan safar tiada sialnya. Nabi s.a.w. bersabda, apa-apa bulan pun sama. Tiada yang membezakannya. Bulan merupakan anugerah Allah Taala yang cukup bererti buat kita. Kalau tidak, kita jadi orang yang kekeringan di padang air.

Jadi, tidak payah cerita panjang. Jangan adakan perkara tidak tentu pada bulan Safar ini. Kita teruskan kehidupan kerana bulan depan ada tarikh yang amat penting dalam kehidupan kita. Sama-samalah kita lihat.

Thursday, January 28, 2010

APAKAH ERTI SEBENAR PERPADUAN?
















Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957. Sabah dan Sarawak menyertai penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Kalau dikira dari segi umur manusia, usia ini begitu matang dan cukup baligh. Saya yakin kemerdekaan negara kita sudah betul-betul bebas dari aspek kemanusiaan dan penjajahan asing. Namun mengapakah sehingga ke saat ini, soal perpaduan atau integrasi sesama kaum dan wilayah masih menjadi persoalan utama?
Perkara ini menjadi kupasan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dari UIA ketika berceramah di Masjid Al-Muhajirin, Matang Jaya pada 27.1.2010 lepas. Beliau menyatakan bahawa perppaduan sepatutnya bermula dari rumah. Dalam sesebuah keluarga pasti ada suami-isteri dan anak-anak. Kalau hendak memupuk serta mengukuhkan perpaduan yang sejati, hendaklah bermula dari rumah. Cuba anda fikir kata-kata ini.
Perpaduan hari ini kita boleh kaitkan dengan Gagasan 1 Malaysia, Kebudayaan Kebangsaan, sekolah kebangsaan dan banyak lagi. Utuhkah perpaduan ini hari ini?
Saya sendiri yang sudah seusia umur Sarawak dan terlepas daripada penjajahan Inggeris, masih terasa perpaduan yang ada masih tidak stabil. Kita lihat dan dengar sekeliling kita. Banyak kekurangan. Kalau ada pun ianya masih perlu diperbaiki dan dikemaskan. Cuba renungkan apabila berlaku sedikit perselisihan rasa antara dua sahabat berlainan kaum dan agama, ramai yang tersentak. Ini perkara terlalu kecil. Keadaan diburukkan oleh kenakalan sesetengah pihak yang mengambil isu ini menjadi tajuk utama mereka.
Kepada segelintir rakan-rakan yang belum pernah ke Sarawak, intai-intailah keadaan hidup bermasyarakat di tempat kami. Kami senang sesama sendiri. Malah kahwin campur sudah menjadi amalan kami. Ada Iban kahwin Bidayuh. Ada Melayu kahwin Cina. Ada Melanau kahwin Iban. Malah percampurannya cukup banyak. Keadaan ini sebenarnya amat mengutungkan perpaduan umum. Tidaklah sesuatu kaum itu lebih mendewakan kaumnya daripada kaum lain apabila keluarga ada bercampur -baur.
Jadi, untuk mengeratkan lagi perpaduan yang sedia ada, jangan persoal sangat keistimewaan yang diberikan kepada sesuatu pihak. Jangan mudah mendengar khabar angin tentang keburukan orang lain. Dengar sahaja berita sahih daripada pihak berkuasa. Saya yakin, perpaduan akan dapat dicapai tanpa sebarang keraguan dan kesukaran.
Ingat kata-kata nenek moyang kita, perpaduan asas perpaduan umah.

Tuesday, January 26, 2010

MARI KITA MEMERANGI DENGGI DAN CHIKUKUNGUNYA
















SAYA ingin mengajak orang ramai yang membaca blog ini untuk sama-sama dengan kami di Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memerangi nyamuk Aedes. Kian hari kes kian meningkat. Pegawai kami keletihan tetapi kerana tugas dan negara mereka masih berupaya untuk bergerak.

Orang ramai khasnya yang mendiami kawasan-kawasan setinggan dan mudah tercemar supaya membantu menjaga kebersihan. Kami bukan sahaja khuatir dengan kesihatan anda tetapi penduduk keseluruhannya. Sepatutnya kes demam denggi ini sudah berkurangan. Namun yang menyedihkan, nyamuk Aedes masih berterbangan dengan bermaharajalela. Bukan kita hendak memusnahkan makhluk Allah sebarangan tetapi ia mengancam keselamatan hidup kita. Jadi, kita mesti memusnahkannya sebelum ia memusnahkan kehidupan kita.

Bagaimanakah anda boleh membantu? Amat mudah! Jaga kebersihan dalam dan di luar rumah anda. Musnahkan sarang-sarang nyamuk termasuk air bertakung, tayar terbiar, tin terbiar dan juga sebarang sampah sarap yang bertaburan. Kalau bukan nyamuk yang mendekatinya, binatang dan serangga liar juga akan menggunakannya sebagai tempat tinggal dan kunyahan mereka.

10 ke 15 minit seminggu untuk memusnahkannya bukan susah. Minta anak-anak membantu. Minta isteri atau suami membantu. Kalau malas, ajaklah jiran-jiran membantu. Malas juga, upahlah orang membersihkan persekiataran premis kita. Bagilah sedikit wang ringgit kalau sudah terlalu malas.

Kalau kematian disebabkan demam denggi terjadi di kalangan keluarga kita, menyesal sudah tidak berguna. Nasi sudah menjadi bubur. Mana nak cari pengganti apabila orang tersayang pergi buat selamanya. Kita pula jangan menyalahkan orang lain. Salah kita juga.

Justeru itu, marilah kita bergotong-royong membersih kawasan kita. Bersihlah pada bila-bila masa. Pokoknya hidup kita dikelilingi persekitaran bersih.

Friday, January 22, 2010

AL-QURAN ITU MEMANG KALAM ALLAH S.W.T.
















KALAU saya tanya anda satu soalan, fikirkan dan jawab. Antara sarang labah-labah dan setali besi...yang mana lebih kuat?





Soalan ini dikemukakan oleh Dr. Hisamuddin Alham dari UTM, Sekudai Johor. Kita jemput Dr. Hisamuddin menyampaikan ceramah "Quran Dalam Sains" di Masjid Al-Muhajirin, Matang Jaya malam tadi. Begitu mengujakan ceramah beliau. Malah fakta-fakta berbentuk sainstifik dan kajian menjurus kepada pemikiran manusia hari ini berjaya diutarakan. Apa yang penting ialah apa yang sains kata hari ini sudah tersimpul kukuh di dalam Al-Quran sejak lebih 1400 tahun. Malah ramai pujangga dan pakar sains Barat dan bukan Islam memeluk Islam apabila mereka tertarik dengan kebenaran Al-Quran.





Bayangkan bumi kita seperti buih sahaja kalau dibandingkan dengan galaksi ciptaan Allah. Cuba kita lihat sekeliling semasa kita menaiki kapalterbang. Indah dan alamnya begitu cantik. Manusia mana boleh mencipta keindahan ini?





Al-Quran turut mengemukakan pencitaan manusia. Bermula setitik mani dan melalui banyak proses hingga bayi dilahirkan menyebabkan ahli-ahli perubatan Barat begitu kagum. Mereka amat percaya kepada kewujudan Allah. Mereka amat yakin dengan kebenaran maklumat di dalam Al-Quran. Malah, mereka mendasari kajian mereka sebeanrnya telah ada di dalam Al-Quran.





Bagaimana pula kita sebagai orang yang telah Islam sejak berketurunan? Kita pula leka mengerjakan solat 5 waktu sehari. Di manakah kita sekarang?

Thursday, January 21, 2010

BAHAN BERSELERAK
















SALAH satu tujuan stor untuk kita ialah menyimpan bahan-bahan pendidikan kesihatan secara sistematik dan teratur. Namun kerana berlainan corak, bahan-bahan yang ada di UPK bertaburan. Bukan sahaja tidak tersusunkemas tetapi tiada yang mahir menyusunnya. Mungkin kalau ada yang pakar dalam stor, keadaan ini tidak terjadi.





Begitupun, bahan-bahan yang diterima dari Putrajaya tidak dihantar terus memenatkan otak memikirkannya. Apa yang kita buat ialah menyusunatur semuanya dan akan dihantar langsung ke premis yang sedia ada dalam masa terdekat. Tujuannya bukan untuk mengurangkan beban kita tetapi memang itulah matlamat penghantaran bahan-bahan ini.





Kita berharap selepas ini stor ini akan bertambah bersih, tesusun dan seterusnya menarik hati sesiapa sahaja untuk berkunjung ke situ. Lokasi stor ini tidaklah jauh sangat. Kalau ada yang malas berjalan, itulah sebabnya ada yang mengatakannya jauh





Kita berhadap keadaan akan kembali tenang di stor ini. Kesian dengan geng-geng kita yang terpaksa memanjangkan masa bekerja pada petangnya untuk mengemaskan stor ini.





Nak buat 5S dalam sedikit masa lagi! Tunggu dan lihat.

Tuesday, January 19, 2010

DUNIA SEMAKIN DEKAT NAK KIAMAT






MALAM ini Ustaz Izzuan Mohd. Yusop dari JAKIM bercerita hal kiamat yang terlalu dekat sekarang. Apakah persediaan kita? Kita hendak ke mana? Sudahkah kita bersedia?
Kita terlalu kerdil. Banyak kita perlu hadapi. Banyak perlu kita depani dan tangani. Itulah insan yang palibng kerdil.
Insafkah kita mengenai perkara ini. Dalam beberapa filem mutakhir ini kisah dunia kiamat semakin banyak dipaparkan. Kalau dulu kita fikir orang putih tidak begitu memikirkan soal kiamat sebenarnya sebalik pula.
Gempa bumi di Haiti contoh kekuasaan Allah yang sukar diperkatakan dengan apapun jenis bahasa. Gempa di mana-mana. Kekalutan dunia di mana-mana. Kebinasaan menimpa manusia di mana-mana. Cuma kita yang tinggal di Malaysia sedikit beruntung kerana jauh dari beban gempa bumi. Namun, kita tidak sunyi sekarang daripada gempa kecil-kecilan. Takutkah kita?
Banyak ayat disebut berkenaan kiamat. Aku pun remang bulu mendengar cerita ustaz ini. Aku sendiri terlalu kecil dan daif. Marilah kita berdoa dan mengubah diri sendiri. Banyakkan muhasabah diri. Banyakkan renung dosa yang telah kita buat dan terlanjur.
Jadi, ingat esok kita akan mati. Esok kita akan berada di dunia lain. Insaflah.
Kiamat menjauhkan kita daripada orang paling disayang. Namun kalau amal kita cukup...insya-Allah kita boleh bersatu dengan mereka.

Monday, January 18, 2010

GUNUNG LEDANG 1001 KISAH PELIK






DICERITAKAN seorang teman kepada kami berkenaan kepelikan di Gunung Ledang. Kami semua tersentak. Tidak percaya tapi ianya diceritakan oleh seorang ustaz. Percayalah sahaja.
Suatu hari Ustaz ini membawa anak-anak buahnya berkelah di kaki Gunung Ledang. Waktu dirasakan melepasi jam 5 petang. Apalagi anak-anak buahnya begitu seronok. Mana tidaknya. Mandi kesejukan airnya. hati siapa tidak terpikat.
Petang itu mungkin ada kelainan sedikit. Namun hati Ustaz tetap ceria bersama anak-anak buahnya. Ramai juga orang di sana.
Si Ustaz duduk di tepi sungai sambil melihat anak-anak buahnya bersuka ria.
Tiba-tiba Ustaz memanggil anak-anak buahnya balik. Semua tercengang. " Ikut saja. Jangan banyak soal," katanya. Mereka semua balik dalam keadaan masih tertanya-tanya.
Esoknya Ustaz bertanya kepada Jaga di situ ada apa-apakah terjadi semalam. Maka, mereka diberitahu ada orang mati lemas.
Mengikut cerita Ustaz ini, beliau terpandang seorang perempuan cantik berpakaian serba putih duduk di seberang sungai semalam. Dia melambai-lambai tangan menyuruh mereka balik. Tanpa berlengah, Ustaz bergegas terus. Itulah sebabnya Ustaz mengajak anak-anak buahnya.