Wednesday, November 18, 2009

BULAN HAJI MENJELMA LAGI!




SALAM Haji. Hari ini 1 Zulhijjah. Hari ini umat Islam berkumpul di tanah suci Mekah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah Haji. Moga mereka akan beroleh Haji Mabrur dan sentiasa berada di dalam keadaan sihat sejahtera.
Hari ini juga anak-anak dan adik-adik kita menduduki SPM. Mari kita doakan kejayaan mereka. Kejayaan mereka kejayaan kita juga. Mana ada ibu bapa mahu melihat anak-anaknya gagal atau terkandas. Mereka telah melakukan persediaan rapi. Lainlah yang enggan atau tidak mahu belajar. Kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka. Kesungguhan mereka pasti akan mendapat ganjaran terutama daripada Allah Taala. Saya ingat kata-kata Dr. Asri, bekas Mufti Perlis bahawa tiada guna bawa air atau pensil yang telah didoakan ke dewan peperiksaan sekiranya anak-anak ini tidak belajar juga. Belajar...belajar dan berusaha sahaja yang akan memastikan kejayaan mereka. Insya-Allah.
Saya masih ingat zaman kita dulu. Mungkin kerana orang tua kita kurang menyedari betapa pentingnya pelajaran, mereka hanya berserah kepada kemampuan kita. Mereka bukan tidak mahu kita berjaya. Mereka tidak tahu atau kurang faham bagaimana membantu anak-anak mereka untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran.
Anak-anak hari ini patut bersyukur. Banyak kelas tuition. Banyak guru yang membuka kelas tambahan. Malah tidak kurang orang perseorangan yang sengaja menyediakan kemudahan belajar percuma untuk mereka. Berbeza dengan zaman kita. Keadaan seperti ini bukan sahaja kurang tetapi kesedaran masyarakat kurang. Jangan salahkan mereka. Salahkan diri kita.
Entahlah kalau anak-anak hari ini tidak sedar akan kepentingan pelajaran kalau kerajaan telah belanja begitu banyak duit. Ibu bapa, macam kita ini, juga telah banyak berkorban. Kita bukan minta dibalas tetapi dihargai. Bak kata sesetengah orang, setinggi gunung pun duit diberikan kepada ibu bapa, ianya tidak akan dapat membalas jasa mereka.
Jadi, marilah kita gunakan bulan baik ini untuk pengorbanan famili dan agama kita. Yakinlah Allah sentiasa bersama kita. Doa kita sebagai ibu bapa beguitu mustajab untuk anak-anak. Restu ibu bapa, Allah akan merestui kejayaan anak-anak kita.
Malaysia boleh. Selamat Menyambut Bulan Haji.

No comments:

Post a Comment