Wednesday, September 30, 2009

HAPPY BIRTHDAY TO U...


HAPPY BIRTHDAY TO U...

Itulah seronoknya bekerja di Bahagian Telekesihatan KKM ini....makan tak pernah habis. Setiap bulan ada sahaja sambutan harijadi untuk staf. Kami buat koleksi RM20 seorang setiap bulan. Yalah buat tabung majlis harijadi ini.
Apa yang mengagumkan ialah majlis makan ada. Kemudian kami akan dapatlah sedikit duit saku. Macam main kutu. Wauu...BESTLAH. Kalau kebetulan hujung bulan duit dah habis...kebetulan sambut harijadi...adalah sedikit duit yang ada. Best memang best!!!
Semalam harijadi buat Elfida... PA bos kami, Dr. Nesa...bos saya dan Haniza...staf ICT kami. Mereka terpaksa pakai topeng macam catwoman...cantik kucing-kucing ini. Memanglah manja. Terkenang si putih di rumah yang sedang sakit.
Majlis sebegini amat baik terutama untuk eratkan tali silaturahim. Dalam pada itu, dapat juga membuang rasa malu sesama staf. Maksudnya sebagai penjawat awam yang bekerja di bawah satu bumbung, rasa saling mempercayai dan kekeluargaan mesti ada. Inilah mewarnai keindahan di Telekesihatan ini. Hasilnya kerja dapat dibuat secara berpasukan. Kekuatan diri ada. Outputnya amat cemerlang.

ANAK PERMATA HATI KITA




Salam Syawal...Maaf Zahir Batin

Minggu ini hampir semua kakitangan kerajaan beragama Islam kembali bertugas. Memang mood bercuti masih ada. Apa boleh buat, anak-anak terpaksa meredah sekolah lagi. Namun begitu...anak-anak adalah permata hati kita. Mereka juga permata hati negara dan agama. Itulah yang ingin dihasilkan oleh isteri Perdana Menteri kita, Datin Seri Rosmah Mansor. Bukan senang untuk menggilap anak-anak terutama pada umur di bawah 12 tahun. Sepatutnya kita berterima kasih kepada guru-guru yang mendidik mereka di peringkat pra sekolah, Tadika, Tabika dan seumpamanya.
Merekalah sebenarnya juara dunia pendidikan.
Kata Nabi s.a.w., anak-anak laksana kain putih. Kita sahaja yang akan mencorakkannya. Jangan seperti segelintir ibu bapa yang mewarnainya dengan warna hitam. Kesian telatah ibu bapa kerana tidak pandai mewarnakan mereka. Dalam kita memberi didikan jangan lupa semaikan pendidikan agama dahulu. Islam mengajar kita begitu. Pendidikan lain kemudian walaupun ianya penting. Inilah kekurangan hari ini. Akibatlnya kita mengeluarkan mat rempit, penagih dadah dan anak-anak berkelakuan songsang. Jangan takut menegur anak-anak walaupun cara keras atau lembut. Itu stail sendiri.
Saya teringat kira-kira 40 tahun dulu masa arwah ayah masih bersama kita. Tugas saya membantu ibu membeli sayur, daging dan ikan untuk makanan harian kami. Kami membelinya secara berhutang. Makan dan minum berhutang. Tetapi ayah akan bayar habis bila dapat gaji. Kesian ayah. Dulu orang mendidik anak-anak dengan perhatian diberi seadanya. Begitupun, kita anak-anak masih takutkan mereka. Mudah nak kata, kita hormati mereka. Kita sayang ayah dan ibu. Bandingkan anak-anak sekarang. Ditegur sikit sudah melenting. Berbeza sekali dunia hari ini. Siapakah yang bersalah?
Saya sengaja berkongsi sedikit rasa hidup. Mungkin kepada mereka yang telah lama beranak pinak dan bercucu, mereka lebih berpengalaman. Sayang seorang ayah, kita perlu contohi Nabi s.a.w., Saidina Abu Bakar dan para sahabat. Nabi s.a.w. sendiri sanggup menghukum anaknya Fatimah r.a. sekiranya beliau mencuri. Umar pula pernah menghukum sebat anaknya hingga meninggal kerana sayangkan anaknya yang melakukan kesalahan.
Moga sedikit sebanyak tinggalan para solehin ini dapat menjadi ikhtibar kita. Wassalam.

Nota: Gambar Atas...anakku Haziq sedang melelapkan mata. Gambar Tengah: Bersama anakku Iqbal. Gambar Bawah: Bersama anakku Hanisah Raihanah.

Friday, September 25, 2009

SALAM AIDILFITRI






Salam...
Hari Ke-6 Syawal. Kami sekeluarga balik dari Rejang Raya Ke-3. Wauu...jaraya penuh. Mana-mana pun penuh. Kesibukan di beberapa tempat juga melampau. Itulah hakikatnya kita balik kampung. Kami ke Rejang pada 18 September...naik kereta MyVi isteri. Bolehlah tahan sedikit cuma sarat. Nasib baik Haziq tumpang Usunya, Mimi.
Mungkin anda bertanya ada perbezaan Raya tahun ini? Secara jujur memang ada. Segala-galanya berbeza namun suasana tetap masih sama. Kampung Rejang kampung tradisional suku kaum Melanau. Syukur juga dapat beristeri orang sini. Aku dapat juga balik kampung...terkenang lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman. Dulu ketawakan kawan-kawan. Hahh! Sekarang diri sendiri merasa.
Rancaknya bapa mentua masak kaki lembu. Sedap. Takut-takut juga nak makan kerana takut darah naik. Inilah keistimewaan bapa mentua aku...pandai masak. Aku pandai makan saja. Emak mentua...wauuu rancak juga. Kedua-duanya pandai memasak. Isteri bantu dan dia memang pandai masak cuma masa tak mengizinkan. Terkenang juga apabila isteri masak rendang, kari ayam dan kuih. Bila dia masak...diam-diam aku menjamah tanpa perlu menoleh lama ke tempat lain. Ini dia tak tahu...isyyyy
Dua hari penuh beraya di Rejang...aku jadi malas. Nak ke rumah orang malas. Nak ke kubur lagi malas. Nak jalan-jalan malas. Semua malas. Namun jugalah pergi ke rumah saudara isteri terdekat. Apa yang seronok dapat berjemaah Solat Raya Di Masjid Rejang yang cantik. Bukalah Blog isteriku kalau nak tengoh gambar masjid tersebut. Meang cantik. Namun perlu diingat...masjid cantik tanpa jemaah pun tak guna...
Nanti sambung lagi...nak cari gambar yang sesuai dulu

Wednesday, September 9, 2009

KENALI KELUARGAKU

Ibu mentuaku - Haji Majidi dan Hajah Rahmah. Isteriku anak kedua dalam enam adik beradik. Keluarganya cukup besar. Aku pula anak sulung dari 12 adik-beradik. Keluargaku lagi besar. Menjelang Syawal, kami berganti-ganti untuk memulakan Syawal di mana. Aku tak kisah sangat. Apa yang penting anak-anak dapat merayakan Hari Raya Aidil Fitri ini di tempat yang mereka suka. Apabila anak-anak saudara beraya sama, mereka dapat meraikannya dalam suasana yang cukup meriah.
Itulah apabila menjelang Syawal. Gambar ini diambil beberapa tahun lepas. Aku berdiri tiga dari kiri di belakang.

Nostalgia Menjelang Syawal

Kira-kira 35 tahun dulu, menjelang Syawal ramai yang sudah sibuk. Ada yang sibuk membuat kuih-muih dan tak kurang pula yang sibuk menjahit tirai tingkap dan juga membuat pakaian. Kalau nak membeli-belah waktu itu, ibu bapa kita tidak punya duit yang banyak. Keadaan ketika itu jauh berbeza keadaan sekarang. Itu zaman dulu.
Saya teringat arwah bapa, Haji Bibi, kalau berduit dia akan beli kain dan dia sendiri menjahit pakaian kami. Aku dan adik-adik Wahab, Haris (lelaki) arwah sendiri menjahit pakaian Melayu. Arwah boleh tahan menjahit. Adik-adik perempuan, Asmah, Milot, Zainab, Apon dan Zainon, mak yang buat. Kesian melihat mereka. Anak ramai. Syukur mereka dapat membentuk kami jadi anak-anak yang tidak lupa daratan walaupun pelajaran kami tidak seberapa.
Kami 12 adik-beradik. Empat meninggal - seorang berkubur di Sibu dan tiga orang lagi di Kuching. Setiap kali menjelang Ramadan atau Syawal, arwah bapa sibuk menebas dan membersih perkuburan mereka kecuali kubur adik di Sibu. Namun begitu, aku selalu mendoakan mereka selepas setiap solat. Moga mereka bahagia. Aku faham keperitan ibu apabila mereka meninggal. Ibu seorang yang cukup tabah. Terima kasih ibu. Terima kasih ayah.
Aku harap anak-anakku memahami kepayahan aku dan isteri. Mereka kami tatang secukupnya. Apa yang kami syukur, tiga anak kami tidak terlalu meminta untuk berhari raya. Apa yang kami beri, mereka terima. Cuma anak perempuan sedikit demand. Kami tidak kisah sangat kerana dialah anak bongsu kami. Kami sentiasa doakan kebahagiaan dan kesihatan mereka.

KELUARGA PENGIKAT KEBAHAGIAAN

Hari ini 19 hari berpuasa. Sebaik berbuka kita akan memasuki 10 terakhir berpuasa. Moga kita telah menjalani ibadah ini dengan baik. Saya banyak kekurangannya. Maklum manusia yang kerdil ini banyak perbuatannya. Saya berdoa moga saya dapat balik bertugas cepat ke Sarawak kembali.
Rindu untuk memerahkan otak dan keringat untuk tanahair tempat dilahirkan. Di Putrajaya ini amat hebat. Orangnya ramai yang pandai dan cerdik. Saya banyak belajar daripadanya. Di samping ada ramai teman yang mulia hatinya, ramai juga yang tahu mengenal budi. Mereka seperti keluarga kerana saya keseorangan di sini.
Kata orang, keluarga sendiri tidak ada tolok gantinya. Mereka penyeri hidup. Walaupun kata P. Ramlee lidah lagi tergigit. Itu lumrah alam. Kita seronok bersama mereka apalagi waktu berbuka puasa dan bersahur. Lelaki seperti saya pun mengalir air mata. Anak-anak Iqbal, Haziq, Hanisah dan isteri serta kakak di rumah itu pengenyang perut sebenarnya.
Doakan kebahagian kita masing-masing. Esok kita semua akan berada di janaah yang mulia. Aminnnn

Tuesday, September 8, 2009

KELETIHAN BULAN RAMADAN

MUNGKIN ramai yang keletihan menjelang Ramadan ini. Inilah adat berpuasa. Jangan khuatir. Ini perkara biasa. Namun begitu, kita mestilah cergas dan cerdas sekalipun berpuasa kerana Islam adalah agama kekuatan diri dan rohani. Malu sekiranya kita nampak letih dan orang lain ceria dan gembira.
Sebelum berbuka semalam saya tertidur. Terkejut sekeliling gelap. Saya cepat bangun dan rupanya sudah 7.30 petang. Terlepas berbuka pada 7.18 petang. Tidak apalah kerana bukan terlepas waktu sahur. Juadah biasalah orang bujang - air dan semua makanan dari gerai. Sesekali makan sedih terasa sangat. Maklum biasa berbuka dengan isteri dan anak-anak. Sini keseorangan. Keadaan ini terpaksa ditempohi. Terima kasih buat keluarga yang amat memahami keadaan saya. Namun doa sentiasa dipanjat untuk dekat kembali.
Masuk 10 kedua ini, jemaah tarawih semakin kurang. Di surau berdekatan kuarters saya selesai rakaat kelapan, bilangan jemaah cukup menyedihkan. Ramai balik. Entah ke mana mereka pergi. Itu hak masing-masing.
Selamat berpuasa dan selamat berbuka.

Monday, September 7, 2009

WAKTU SHOPPING

Salam Putrajaya,

Di mana-mana shopping centre manusia macam ulat sekarang. Saya kira 99% daripada mereka orang Melayu beragama Islam. Mana tidaknya, Hari Raya Puasa dah nak dekat. Saya amat tertarik dengan perkembangan ini. Sayang sekali yang untung orang lain. Tak apalah. Pokoknya asal ada duit semua boleh jadi. Namun kita mesti sentiasa beringat waspada pada semua benda - penyeluk saku, pencuri, pencopet dan sehingga kepada peminta sedekah. Saya lihat peminta sedekah ini duduk membuka pejabat di depan ATM. Mereka tahu ini merupakan tempat terbaik. Kalau ada rasa gerak hati nak menderma, jangan kedekut. Kalau tiada gerak hati, gerak-geraklah sendiri. Amalan bersedekah pada bulan yang mulia ini cukup-cukup besar. Aminnnn...

Friday, September 4, 2009

SOLAT TARAWIH DI SURAU PRESINT 16

Hari ini hari ke-14 kita berpuasa. Alhamdulillah semalam aku dan kawanku Kamaruzaman sempat berjemaah solat Tarawih di Surau Presint 16. Aduh...begitu pilu mendengar imam mengalunkan ayat-ayat Allah. Tersentak rasa hati. Terhenti sebentar denyutan jantung. Hampir terleleh air mata apabila mendengar kelunakan suara dan ayat-ayat yang dibacanya. Beliau seorang tenaga pengajar dan Al-Hafiz. Namun sayang sekali kami hanya berjemaah sebanyak lapan rakaat. Bukannya apa, malas. Namun menhayati bacaannya cuukup mengusik hati. Suaranya cukup nyaring dan merdu. Aku yakin sesiapa di belakangnya akan bersetuju dengan pandanganku ini. Anda pula bertarawih di mana? Aku yakin keluargaku juga berjemaah di Masjid Al-Muhajirin, Matang Jaya, Kuching. Imamnya ialah Ustaz Azhar Al-Hafiz. Beliau orang muda yang begitu komited dalam hidupnya. Oh ya...tahniah Ustaz kerana mendapat anak baru. Aku doakannya akan ikut kesolehan ayahnya.
Imbasan Pemeriksaan Kesihatan (Suhu Badan)Untuk Influenza A H1N1 Di KKM

Sebagai peneraju utama kesihatan di negara ini, KKM membuka langkah berani dengan mengadakan pemeriksaan imbasan suhu badan untuk semua orang yang datang ke pejabatnya di Putrajaya. Menteri Kesihatan Malaysia sendiri memikirkan ini amat penting. Kita berharap langkah ini memenuhi kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moahamed, kepimpinan melalui teladan. Tahniah MKM. Kita berharap semua Kementerian lain akan ikut langkah ini. Kita tidak perlu khuatir atau bimbang, penyakit ini amat terkawal. Percayalah keupayaan kita di KKM. Kita mempunyai pakar-pakar yang cukup prihatin berkenaan perebakan H1N1.
Salam Putrajaya,

Bulan September 2009 ini, aku sudah 14 bulan bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya. Aku berpindah dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak kerana naik pangkat pada 1 Ogos 2009 tetapi lapor diri pada 18 Ogos 2009 kerana terpaksa menghabiskan banyak komitmen lagi. Hati amat berat pergi terutama meninggalkan isteri dan anak-anak tersayang. Namun kerana keperluan masa depan, aku melangkah pergi. Terima kasih kepada keluargaku termasuk ibu dan ibu bapa mentua tersayang kerana memahami. Sejak itulah aku menjadi pelancong di tanahair sendiri. Menulis dan mencatat apa yang perlu untuk akhbar Utusan Sarawak. Terima kasih kawan yang memberikan sokongan. Menulis memang minatku sejak awal-awal meningkat remaja. Cikgu pengajar dan penggalak adalah Dr. Jeniri Amir. Terima kasih cikgu.