Friday, October 30, 2009

ERTI SEORANG SAHABAT




Selama 4 hari di Seremban, saya memahami teramat sangat erti seorang sahabat atau kawan. Saya sempat berjumpa Ustaz Serozi. Hampir empat tahun beiau balik ke Semenanjung. Dulu beliau di Kuching dan mengajar di Politeknik Matang. Lama baru berjumpa dan kami saling berpelukan. Sayu rasa hati.
Beliau sekarang mengajar di Maktab Perguruan Melewar. Cuma fizikalnya seperti saya - naik sedikit. Namun kekacakan kami masih ada! Wauuu...itulah kita manusia yang telah banyak berubah. Menurutnya dia baru dapat anak baru. Anak kelima. Hebat Ustaz Serozi. Tahniah!
Itulah nilai seorang sahabat. Mana-mana berjumpa pun kedahagaan. Inilah sejatinya slogan 1 Malaysia. Kalau dulu kita saling rasa was-was hendak ke wilayah lain di Malaysia ini, sekarang rindu pula untuk ke tempat mencari rezeki dulu. Itulah Ustaz Serozi. Moga beliau dapat kembali ke Sarawak kerana kita dahagakan ilmu agamanya.
Menyentuh soal erti sahabat - sahabat sejati susah dicari. Sahabat penghisap poket atau suka waktu senang, memang tidak sukar dicari. Namun masa dan tempat yang amat cemburu memisahkan kita yang bersahabat baik. Malah ada sahabat yang kita angkat setingginya, ditatang serta dipuji, apabila berlaku kesilapan sedikit, terus cabut. Terus cerca kita. Inilah yang menyedihkan.
Sahabat juga boleh mengeratkan silaturahim sampai ke dunia lain. Maksudnya sahabat yang dapat membantu kita di akhirat. Sebab itulah, para sahabat adalah bintang kepada Nabi Muhammad s.a.w. Itu makna sahabat sebenarnya.
Kita pula bagaimana?

BERBENGKEL SEPANJANG MALAM






Nampaknya kawan-kawan begitu ceria berbengkel kali ini.
Bengkel Penyediaan Manual Latihan Teras Pendidikan Kesihatan Bil. 2/2009 ini cukup bermakna. Di samping kami dari beberapa lokasi negeri dan Bahagian, Haji Jabar selaku Pengarah turut hadir menyemarakkan lagi bengkel ini. Memang kami komited dengan tugas. Ada lima kumpulan yang masing-masing tekun dengan tugas tersendiri.
Apa kami buat?
Kami buat manual dan write-upnya. Kami buat power point dan ada yang rajin buat lebih daripada ini. Syukur semua begitu bersemangat. Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM selaku penyelaras mahu manual ini dapat digunakan oleh semua 160 000 stafnya secepat mungkin. Insya-Allah berkat kesungguhan kami dan HEO yang ada, manual ini akan keluar sebagai manual yang cukup hebat.
Kami tahu manual ini akan dapat digunakan untjuk jangka panjang. Manalah tahu ia akan diterjemah ke pelbagai bahasa dari seluruh dunia terutama bahasa Inggeris dan Arab. HEO kita bukan semakin malas tetapi semakin hebat. Itulah ada kalangan kami yang dah ada PhD. Ramai yang masih menuntut. Mereka semuanya harapan masa depan kita.
Kita berharap HEO dapat berperanan ebih besar bukan sahaja untuk negara ini tetapi KKM.
HIDUP HEO.

Thursday, October 29, 2009

SEREMBAN ...OH..SEREMBAN





Selama setahun lebih di Putrajaya, inilah kali kedua saya memandu sendiri ke Seremban. Mula-mula memang kekok kerana tidak biasa. Memandangkan seronok memandu, saya bersama teman, Joseph sampai juga di Klana Resort - tempat kami berbengkel. Kala sampai hotel penuh dengan kereta-kereta mewah. Rupanya ada pembesar negara duduk di sini kerana hadir majlis pertabalan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan.
Keseronokan saya tidak lain hanyalah mencari makanan. Dengar khabar di negeri ini terkenal dengan kepedasan masakannya. Memang saya tidak larat untuk menjamahnya. Namun kita yang kurang makan pedas terpaksalah makan makanan yang tidak atau kurang pedas. Cuba juga masakan pedasnya tetapi lepas itu masuk menghadap tandas. Itulah kelemahan perut ini.
Beberapa kali memandu di bandar Seremban masih tidak faham jalannya. Kalau ke pusat bandar, memang balik tercari-cari tempat hendak dituju. Nasib baik ada Aziman yang sedikit mahir dengan jalan-jalan di sini kerana sudah 4 kali datang. Itupun saya juga memandu. Dia bagi arahan saja.
Bandar Seremban masih penuh dengan bangunan lama. Tipikal keadaannya membuat hati agak sayu. Mana tidaknya, nampak keadaan bandar ini seperti Bandaraya Kuching. Roda Waja tak membawa jauh kerana takut tak jumpa jalan balik ke hotel. Zul, kawan kita di Seremban bawa kita makan kerang dan beberapa masakan tempatan. Bak kata pepatah orang mengantuk disorongkan bantal. Redah sajalah makanan yang ada.
Petang ini dah janji nak jumpa kawan lama kita - Ustaz Seroji. Tak sabar nak jumpa dia kerana lama dah tak jumpa. Nak ajak dia ke tempat makan sedap.

Friday, October 23, 2009

WIDAK UNTUK BAKAL HAJI




Malam tadi diadakan majlis widak untuk bakal-bakal haji dari Taman Matang Jaya. Alhamdulillah. Seramai 22 orang akan menunaikan fardu haji tahun ini.
Majlis ringkas tetapi penuh erti ini diadakan sebagai penghormatan dan doa restu para jemaah dan umat Islam di sini kepada mereka. Didoakan mereka selamat sejahtera sepanjang berada di tanah suci. Beribadahlah dengan khusyuk dan penuh ikhlas. Kami di tanahair menumpang bangga dengan pemergian mereka.
Majlis malam ini diserikan dengan bacaan Surah Yaasiin dan tahlil. Kemudian majlis zikir dan penyampaian cenderamata memenuhi acara. Cenderamata diberikan sebagai rasa sokongan padu ahli-ahli jawatankuasa Masjid kepada mereka. Walaupun tidak besar tetapi setidak-tidaknya, kepergian mereka tetap dibanggakan dan diiringi doa.
Tahniah buat Jawatankuasa kerana majlis ini mempereratkan silaturahim antara kita semua.

Thursday, October 22, 2009

NIKMAT ALLAH



Bandaraya Kuching hari ini dibasahi hujan. Hampir sepanjang hari air mencurah dari langit. Syukur kepada Allah kerana menurunkan nikmat yang amat berharga ini.
Teringat masih kecil dulu...waktu-waktu begini kami berhujan. Berlari-lari ke merata tempat dalam keadaan separuh dan terbuka(berbogel). Itu tidak mengapa kerana ramai berbuat begini. Seronok dan mengujakan. Kenapa kanak-kanak dan remaja sekarang tidak begini?
Terkenang masa itu juga, kami bermain dengan senapang bemban, peletop daripada buluh dan bermain dengan pelbagai perkara yang generasi hari ini sukar melihatnya. Sekali aku bertanya kepada anakku mengenai peletop. Apa jawapannya...langsung tak tahu. Waktu itulah kami amat cergas. Di samping bertembak sesama sendiri kami menggondol harta pusaka alam. Mana tidaknya buluh dan bemban ditebang sesuka hati. Cuba tanpa generasi hari ini...tahu tak mereka kedua-dua tanaman ini. Aku rasa mereka akan menjawab tidak dengan mulut ternganga.
Ada seorang dua teman menyesal tak bertemu jodoh dengan teman sepermain. Mana tidaknya ada yang berkejaran bersama. " Tak ada selera dengan teman waktu itu kerana macam tomboy atau sebaliknya..." katanya. Ahhh...Sekarang oii...amat menarik mata. Itulah apa nak kata...cari jodoh betul-betul.
Namun itu semua nostalgia. Anda pun banyak kisah. Aku pun banyak kisah. Namun aku tetap terkenang kisah manis saja. Jangan toleh ke belakang kerana dunia semalam hanya untuk ingatan hari esok. Esok mungkin akan membawa cerita yang lebih ceria. Kita sedang berada di hujung senja. kawan lama tetap kawan. kawan baru tetap kawan. Kisah semalam kisah nostalgia. Ada tragis dan ada membangga.
Anda kongsilah bersama aku...

Tuesday, October 20, 2009

MASJID MAKIN MERIAH





ALHAMDULILLAH... Masjid Al-Muhajirin, Matang Jaya, Kuching semakin bertenaga. Di samping aktiviti melimpah, jemaah juga bertambah. Sejak seminggu saya balik bercuti ini, ramai jemaah baru. Jemaah bukan sahaja mengimarahnya waktu Maghrib dan Isya tetapi hampir setiap waktu. Masjid ini mempunyai 2 imam bergaji penuh. Seorang bilal dan merbot juga diberi gaji penuh oleh Jabatan Agama Islam Sarawak. Terima kasih JAIS.
Dengan adanya 4 tenaga utama ini, Masjid ini dapat bergerak lancar. Manakala urusan pentadbirannya diketuai oleh Haji Saed Bin Hassan hanya menguruskan kehidupan Masjid ini dari setiap sudut. Beliau berjaya. Jawatankuasa yang membantunya berjaya memainkan peranan. Begitu pun, langkah seterusnya ialah memberi sokongan penuh kepada ketua. Ketua yang ada mempunyai peranan yang cukup besar. Jadi, tanpa kerjasama, bermakna sesuatu yang dibuat akan mati begitu sahaja.
Namun begitu, Jawatankuasa Pengurusan Masjid juga mesti memberi ruang kepada jemaah lain membantu. Setahu saya, ada segelintir jemaah membentuk JUM - Jemaah Ukhuwah Masjid. AJK patut menerima mereka juga secara ikhlas. Aktiviti yang disokong oleh Jawatankuasa juga aktiviti Masjid. Maka, dengan demikian dapatlah aktiviti yang dilaksanakan memberi manfaat buat seluruh jemaah.
Kita disarankan jangan mendengar omong kosong orang luar. Ada fitnah disebar. Kita perlu waspada. Fitnah amat bahaya daripada membunuh. Itu semua faham. Justeru itu, teruskanlah pelaksanaan aktiviti yang ada. Jemput ustaz dan ustazah yang boleh diyakini. Kalau dapat jemput orang biasa termasuk doktor, pakar lain dan orang yang berkemahiran berbeza. Ini pasti menarik minat jemaah untuk terus bertahan ke Masjid.

Monday, October 19, 2009

LARIAN KESIHATAN ANJURAN MAKSAK SARAWAK






LETIH...PENAT. Kami dapat berlari kira-kira 3.5 kilometer sekitar Dewan Undangan Negeri Baru Sabtu lepas. Sebelum itu, kami bersenam robik ikut irama Malaysia. Instruktur kami ialah Semmi....geng di UPK JKN Sarawak. Rancak dan seronok sekali.
Aku dan isteri berlari dan berjalan dalam larian Kesihatan ini. Ramai yang tidak berjaya melakukan aktiviti ini. Separuh malas. Separuh rajin. Segelintir pula yang betul-betul sihat dan mampu berlari. Seronok melihat Musbah dan Joseph berlari. Mereka memang fit. Yang lain entah...apa sudah jadi walaupun umur masih 20-an. Itulah senario rakyat Malaysia dewasa ini.
Aku ingin mencadangkan supaya aktiviti seperti ini dijalankan secara berkala dan kerap terutama di kalangan kakitangan kerajaan. Anda pula bila lagi?
Di samping itu pameran dan pemeriksaan kesihatan turut diadakan. Mereka yang hadir dan mengambil kesempatan memang beruntung. Itulah kerajaan dah bagi free, kita tak hadir pula. Rugi...rugi...
Sedih tau...kalau anda tidak tahu jenis darah, kolestoral, gula, BMI anda. Peluang begini memang jarang kita dapat. Anda bukannya tidak mampu tapi mungkin gago bah...Lain kali uangkan sedikit masa.

SELAMAT MENUNAIKAN FARDU HAJI



ALHAMDULILLAH beberapa rakan di sekitar Matang Jaya termasuk saudara Hafaz, Saudara Nawi(Imam kami), Saudara Ibrahim, Saudara Zailani, Saudara Wan Razemi akan menunaikan fardu haji tahun ini. Beberapa hari ini telah diadakan majlis doa selamat. Terima kasihlah kerana menjemput kami. Aku paling terasa. Maklum aku masih di Putrajaya dan mungkin tidak kesempatan menghantar mereka ketika berangkat. Namun begitu, aku doakan mereka dapat menuanikan haji dengan sempurna dan mendapat haji mabrur.
Sebagai seorang yang pernah menunaikan fardu haji, memang ibadah ini paling mencabar. Kesabaran dan kecekalan hati adalah kekuatan sebenar. Bakal-bakal haji bukan sahaja berperang dengan keresahan fizikal tetapi emosi dan mental. Malah kekuatan mentallah tenaga utama. Inilah kelebihan mengerjakan haji.
Nasihat buat mereka, kerjakan haji dengan khusyuk. Insya-Allah kami di tanahair akan sentiasa mendoakan mereka. Jangan khuatir kami yang tinggal. Banyakkan ibadah kerana di sana panggilan haji begitu sayu. Pasti kepergian anda akan diiringi air mata suci. Gugurkan air mata itu di madinah dan Mekah. Biar basah tanah suci itu dnegan taubat dan kesucian hati anda. Kurangkan tawa. Banyakkan muhasabah diri. Banyak mengingat Allah. Maka, anda akan balik ke tanahair sebagai bayi yang baru lahir.

Saturday, October 17, 2009

SOLAT HAJAT UNTUK KAWAN

SEMALAM (Hari Jumaat Malam Sabtu) aku, Ustaz Haji Md. Khir, Haji Dawi, Arfan, Mejar Haji Sulaiman, Cikgu Norgi dan anaknya serta seorang teman berkesempatan ke rumah Cikgu Awang untuk solat hajat. Kami sempat bersolat Maghrib dan Isya berjemaah dengan diimamkan Ustaz Haji Md. Khir. Tujuannya adalah untuk memohon kessembuhan penyakit Cikgu Awang. Kesian dia.
Kami membaca surah Yassin dan didoakan juga oleh Ustaz Haji Md. Khir. Mengikut Cikgu Awang kesihatan beliau sering terganggu. Adakalanya dia betul-betul sihat. Dalam beberapa waktu beliau begitu lemah dan memerlukan rawatan susulan di hospital. Sekali ambulan menjemput beliau di rumah kerana tidak sedarkan diri. Alhamdulillah malam tadi, kesihatannya cukup baik dan bercerita keadaan dirinya.
Sebagai orang Islam, Allah tumpuan kita. Allah juga permohonan kita. Allah yang menentukan segala-galanya. Keadaan Cikgu Awang mengajar kita mengenai betapa tingginya Allah sebagai tumpuan umat Islam. Di samping bersolat fardu, kita disunatkan solat sunat. Dalam pada itu, kita digalakkan berbuat baik. Kita disarankan banyak menderma. Malah apa sahaja kebaikan kita diseru membuat kebaikan.
Janganlah hanya waktu susah kita baru kenal Allah. Allah mengingatkan kita bahawa Allah akan ingatkan kita sekiranya kita selalu ingat kepada-Nya baik waktu susah apalagi waktu senang. Jadi, jangan lupa berterima kasih kepada Allah dengan melakukan kebaikan.

Tuesday, October 13, 2009

Malam Membakar Hati Yang Keras




Baru-baru ini kami sempat mengumpul anak-anak kurang bernasib baik di Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Masjid Al-Muhajirin, Matang Jaya. Seronok sekali apabila ramai yang hadir.
Majlis ini dimulakan dengan tazkirah oleh Ustaz Izwan Mohd. Yusuf dari JAKIM. Sungguh sedap ceramah beliau. Mungkin sebahagian daripada kami kelunturan kepanasan hati apabila menikmati ceramah beliau yang begitu hebat. Yalah kita manusia yang imannya sekejap naik dan sekejap terus merudum. Hal ini mengusik hati sendiri saya sendiri. Insya-Allah, Allah akan sentiasa menerima taubat orang seperti kita ini.
Majlis ini juga dipenuhi dengan alunan memuji Allah Taala oleh Kumpulan Qasidah dari Sekolah Syed Alwi. Memang hangat. Kemudian ustaz Syed Alwi memberi penerangan berkenaan sekolah yang beliau tubuhkan dan juga bagaimana beliau mengumpul anak-anak terbiar ini. Tabiklah dengan ustaz Syed.
Seramai 65 anak-anak ini diberikan goodis, wang saku dan juga diberikan ayam KFC. 100 pek diumbang oleh KFC. Terima kasihlah sahaja. Ini usaha yang dibuat oleh Haji Dawi.
Makanan pula sumbangan banyak pihak termasuk Ustaz Haji Morshidi, Mejar Haji Sulaiman, Uncle Ismawi, Pak Ujang, Haji Dawi, Haji Zahari, Cikgu Norgi, dan beberapa nama lagi. Terima kasih banyak. Dengan hadirnya anak-anak ini memberi semacam keinsafan buat kita yang masih beribu dan bapa. Bayangkan kalau kedua-dua mereka sudah tiada di sisi kita? Doa buat mereka yang tiada.

Wednesday, October 7, 2009

CUTI...PMR...RAMAH TAMAH...


Saya balik ke Kuching semalam semata-mata untuk memberi semangat kepada anakku -Muhammad Haziq(itulah dia dalam gambar) yang akan menduduki PMR bermula hari ini. Dia ini relak saja. Namun kami tahu dia bersemangat dan berkeyakinan untuk lulus cemerlang. Moga begitulah.
Saya masih ada beberapa hari cuti. Ada sedikit untuk bersama keluarga apabila perlu. Itu tak penting. Saya sentiasa berdoa untuk dapat balik bertugas di negeri sendiri. Saya rasa dapat kembali bertugas di Sarawak sedikit masa lagi. Bukan tidak suka bertugas di Putrajaya tetapi berjauhan dari keluarga memang menyakitkan.
Hari ini kira-kira 400 000 pelajar menduduki PMR. Peperiksaan ini hanya sebagai langkah awal untuk naik ke tangga yang lebih tinggi. Begitupun, kejayaan di dalamnya juga penting. Itulah harapan semua ibu bapa yang anak mereka menduduki PMR. Saya suruh kakak sediakan telur rebus 2 biji untuk Haziq sebelum ke sekolah. Nak tambahkan tenaganya sedikit.
Balik kali ini beberapa majlis akan disertai. Pada 9 Oktober 2009, kami akan mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri. Kami sebagai penganjurnya iaitu Tadika KEMAS Al-Muhajirin, Matang Jaya. Kami tidak mahu buang peluang untuk mendekati ibu bapa pelajar. Pada 10 Oktober 2009 pula kami akan anjurkan ramah tamah bersama anak-anak yatim. Kumpulan kami Jemaah Ukhuwah Muhajirin ingin menyumbangkan sedikit rasa kepada anak-anak yatim ini. Pada 17 Oktober 2009 pula, hari tahlil untuk arwah ayah yang kembali ke rahmatullah pada tahun 2003. Tiga hari lepas aku bermimpi bertemu arwah. Tetapi tak ingat apa peristiwanya. Namun fatihah sahaja yang dipanjangkan untuknya.
Jadi, senoga cuti kali ini ada faedahnya.

GEMPA BUMI...SWEEPING MALAYSIA...1 MALAYSIA

Kali ini saya amat tertarik dengan slogan kata "Sweeping Malaysia" yang dicetuskan oleh segelintir rakyat Indonesia. Saya kira tak sampai 0.1% rakyat Indonesia bersikap demikian... Slogan ini lebih berbentuk 'memerangi' Malaysia kerana kekacauan yang kononnya dicetuskan oleh rakyat Malaysia dalam beberapa perkara terhadap mereka. Antara ledakan bak gempa bumi yang kononnya dicetuskan ialah Malaysia mencuri beberapa lagu rakyat Indonesia, kekasaran Malaysia terhadap rakyat Indonesia di negara ini dan juga kekurang ajar Malaysia di dalam mencuri batik. Apakah ini benar?
Kesihan Malaysia! Betulkah ini terjadi?
Saya melihat 'kekecohan' ini sengaja dicetuskan oleh segelintir kecil rakyat Indonesia yang sememangnya tidak mengetahui hal sebenarnya. Mereka hanya mendengar secara umum. Mereka juga tidak tahu apakah isu sebenarnya. Malah ringkasnya kumpulan ini tidak pernah membaca akhbar atau menonton berita ataupun menanalisa keadaan sebenarnya. Mereka hanya mendengar sayup-sayup. Pendeknya mereka hanya mendengar tempias yang tidak benar.
Rakyat Indonesia ini perlu tahu keadaan sebenarnya. Malaysia tempat makan 1.8 juta rakyat Indonesia. Kita ambillah setiap jumlah rakyat ini menyuap 4 orang keluarga mereka. Berapakah jumlah keseluruhan? Jumlahnya ialah kira-kira 8 juta rakyat Indonesia bergantung penuh kepada Malaysia untuk menyuap mulut dan mengenyangkan perut mereka. Kecilkah jumlah ini? Golongan yang membantah atau membuat kacau tidak sampai 300 orang daripada kira-kira 250 juta rakyatnya. Apa yang menyedihkan cetusan 300 orang ini dihebahkan oleh media Indonesia. Apakah jadahnya, kata Wan kamaluddin sedikit masa dulu.
Saya yakin ada hasutan sebalik perkara ini. Kita bukan sahaja serumpun tetapi banyak ikatan persaudaraan. Apabila terjadinya gempa bumi di Padang baru-baru ini, Malaysia yang terhegeh-hegeh memberi bantuan. Kita di Malaysia sibuk mengutip derma untuk diberikan kepada mereka. Kita juga menghantar pasukan SMART, PBSM dan beberapa pasukan lain. Apakah penghantaran ini tidak menelan kewangan yang tinggi? Tepuk dada tanya iman.
Jadi...tidak payahlah persoalkan keikhlasan kita membantu. Isu lagu, batik, penyeksaan pekerja mereka di Malaysia bukannya menunjukkan permusuhan kita. Ia sikap biasa di mana-mana sahaja kita hidup. Mana ada manusia yang perfect?
Tepuk dada tanya akal...
Buat saya; Tahniah kepada Malaysia yang tidak pernah membalas. Kita bukan takut tetapi perkara tersebut tidak perlu dihebaoh dan dibising-bisingkan. Tak perlu gawat!