Sunday, November 29, 2009

KORBAN LEMBU DI KAMPUNG TEBUN, SIMUNJAN






Alhamudlillah ahli-ahli jemaah Masjid Al-Muhajirin, Matang Jaya, Kuching berjaya menumbangkan dan menyedekah seekor lembu buat penduduk Islam Kampung Tebun, Simunjan. Kegembiraan dan kesyukuran mereka begitu kelihatan di wajah masing-masing.
Mengikut mereka, inilah pertama kali upacara korban lembu diadakan di kampung mereka setelah 20 tahun mereka menganut agama Islam.
Penyembelihan dilakukan oleh Ustaz Haji Md Ahir dan lapahan serta pengagihan daging lembu dilakukan oleh penduduk setempat. Terdapat kira-kira 20 keluarga di sini dan 6 keluarga beragama Islam. Namun begitu, masyarakat Islam di sini dibimbing oleh seorang Ustaz.
Kami sempat berjemaah solat Zohor sebelum kami balik ke Kuching.
Hati dan rasa bersyukur dan kesedaran para jemaah cukup tinggi hinggakan mereka berikhtiar untuk melakukan korban pada masa depan. Niat kami adalah ikhlas sebagai satu cara membantu meningkatkan semangat keislaman umat Islam di Kampung Tebun.
Kami percaya rasa keislaman masyarakat di Tebun akan lebih bermakna sekiranya lebih banyak aktiviti berunsurkan Islam diadakan. Kalau tidak silap, Jabatan Agama Islam Sarawak akan mengadakan sambutan Maal Hijrah di Kampung ini pada 19 dan 20 Disember 2009 ini.
Semoga dengan adanya sambutan aktiviti agama Islam seperti ini di tempat-tempat saudara Islam kita ini, rasa kasih dan cintakan Islam mereka akan lebih kukuh lagi.

Friday, November 27, 2009

SALAM AIDILADHA




Alhamdulillah tahun ini sambutan Aidiladha cukup sederhana. Seperti khutbah Khatib Raya Haji, semakin ramai orang Islam membuat korban. Kami di Masjid Al-Muhajirin dapat mengorbankan lapan ekor lembu. Empat ekor di pekarangan masjid. Manakala empat ekor lagi di korbankan di beberapa tempat.
Semoga dengan keinsafan umat Islam ini akan meningkatkan lagi ketaqwaan kita ke hadrat Allah Taala. Sepertimana yang kita ketahui, sedekah orang yang berkorban cukup tinggi di sisi Allah. Kalau tahun ini tidak berkesempatan, insya-Allah kita lakukan lagi tahun depan.
Namun begitu, jangan kita kosongkan Raya tahun ini begitu sahaja. Penuhkannya dengan laungan takbir dan tahmid kepada Allah Taala. Saya yakin kita akan mendapat manfaat yang cukup besar.
Marilah kita isikan juga sambutan Raya tahun ini dengan bersalaman dan bermaafan. Kita renungkan kelemahan diri masing-masing. Banyakkan muhasabah diri.
Moga Allah memberikan rahmat yang banyak buat kita. Moga juga Allah perkenankan doakan dan harapan kita.
Hari ini kita berjaya melakukan korban lembu di Kampung Rambungan, Lundu. Saya yakin semuanya puashati.
Marilah kita berkorban semata-mata untuk Islam!

Thursday, November 26, 2009

MENYAYANGI INSAN YANG MEMERLUKANNYA




Saya dibawa oleh abang Jenawi ke Kampung Rambungan, Lundu untuk menghulurkan sedikit sumbangan buat seorang ibu tunggal. Kisah ibu tunggal ini datang daripada Cikgu Haji Morshidi. Kesian melihat keadaan atap rumah ibu tunggal ini. Beberapa keping atapnya diterbangkan angin. Tentu basah di dalam rumah apabila hujan turun!
Kita manusia memang mempunyai sifat prihatin kepada orang lain. Naluri ingin membantu insan yang memerlukannya amat tinggi. Jadi kami sepakat untuk mengutip sedikit sumbangan untuk membeli atap tersebut. Insya-Allah dua tiga hari lagi dapatlah rumah tersebut dibaiki.
Masih ada yang sayang!
Beginilah kalau ingin menghirup kesegaran hidup sebenarnya. Rasa kasih sayang dan saling membantu mestilah ada supaya tiada saudara-mara yang susah di sekeliling. jadi, bantulah di mana sahaja kita berada.

Tuesday, November 24, 2009

MERAIKAN KANAK-KANAK TABIKA KEMAS







KAMI cukup ceria bersama kanak-kanak Tabika KEMAS Al-Muhajirin, Matang Jaya pada majlis perpisahan untuk kanak-kanak berusia 6 tahun. Tahun 2010 mereka akan mula memasuki Tahun 1. Bermakna mereka mula melangkah ke alam persekolahan sebenar.
Di samping mereka, kami meraikan kanak-kanak berumur 5 dan 4 tahun. Mereka diberikan hadiah, sijil, diraikan bersama maskot KFC dan makan. Mereka cukup gembira bersama dengan guru-guru di KFC.
Turut hadir ialah tiga orang pegawai KEMAS Negeri Sarawak.
Majlis seperti ini memang layak diberikan kepada kanak-kanak ini. Sebagai tanda penghormatan untuk mereka, majlis ini dapat dijadikan teladan buat anak-anak melihat kesungguhan guru-guru di dalam mendidik mereka. Sebenarnya kita ibu bapa atau pihak tertentu jarang melihat sumbangan besar guru-guru Tadika, Tabika atau sewaktu dengannya. Kanak-kanak yang berumur 4, 5 dan 6 tahun merupakan tahun awal mendidik mereka. Bermakna guru-guru ini mengalami satu tekanan yang cukup besar berhadapan dengan anak-anak yang masih mentah.
Guru-guru di sekolah rendah dan menengah dan universiti patut mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di peringkat bawahan ini.
Kita amat sedih juga, jasa guru-guru Tabika ini jarang dihargai baik oleh ibu bapa ataupun anak-anak kita. Mungkin sumbangan mereka 'tidak nampak' atau sengaja tidak difahami. Jadi, kita janganlah lupa sumbangan seumpama ini.
Guru adalah pelita hidup kita. Justeru itu, menghargai mereka seperti kita menghargai sumbangan ibu bapa.

Sunday, November 22, 2009

CUTI DI DAMAI








MUSIM cuti sekolah datang semula. Saya sempat membawa anak bongsu, Hanisah, ke Damai Puri. Satu yang istimewa di sini ialah pantainya yang cantik.
Kebetulan juga musim hujan. Kedinginan hotel ini ditambah juga dengan kedinginan musim hujan. Apabila dicampurkan, bertambahlah sejuk!
Sejak kecil si Hanis ini minat dengan air. Maka, dia pandailah sikit-sikit mandi. Kita ini malas hendak mengajarnya walaupun bapanya ini kaki sungai dulu. Kalau berenang bolehlah tahan.
Apa yang saya hendak kongsikan bersama ialah ramainya anak-anak di kolam ini. Ibu bapa memang best kerana dapat membawa anak-anak ke sini. Kolam renang yang ada memang cukup sesuai dengan anak-anak. Sebab itulah, ibu dan bapa anak-anak berkongsi mandi di sini. Menjaga anak katakan. Sebenarnya ibu bapa ini tak tahu berenang rupanya.
Saya melihat kemesraan ibu bapa dengan anak-anak cukup mencuit hati. Betapa beruntungnya anak-anak ini. Kita sebagai orang yang beruntung dapat bersama-sama anak-anak di hotel yang ternama, jangan kita lupa anak-anak yang bermain air laut bergelora. Bukan apa? Mereka terpaksa ikut bapa mereka menangkap ikan untuk menyara kehidupan. Sedihnya musim hujan seperti ini, tahu-tahulah pendapatan yang mereka dapat. Kais pagi makan pagi sahaja!
Memandangkan musim sekolah kali ini panjang, jangan tidak bawa anak-anak bercuti di tempat yang menarik. Buanglah sedikit duit untuk keriangan mereka. Mereka gembira, kita turut bahagia.
Cutilah sahaja di dalam negeri. Banyak tempat. Pergi luar negara, orang lain untung. Biarlah kita dapat menambah pendapatan negara. Yang penting, perbelanjaan kita dapat meningkatkan ekonomi negara sendiri.
Jadi, selamat bercuti. Jagalah anak-anak kita. Namun jangan lupa beri mereka ilmu sepanjang cuti ini.

Friday, November 20, 2009

ROKOK...ROKOK...KALAU DAH GIAN



ENTAH mengapa orang merokok makin naik harga rokok makin rancak merokok! Saya tidak begitu kisah sangat dengan orang merokok ini. Namun yang menyedihkan ialah mereka tidak hirau orang yang tidak merokok. Pokoknya mereka akan merokok ikut nafsu sendiri sahaja. Tahniahlah kepada mereka yang masih merokok kerana tidak lama lagi kuranglah rakyat Malaysia!!!
Di beberapa pejabat kerajaan di Putrajaya ini, ada staf yang kaki merokok tanpa mengenal tempat. Paling menyedihkan ialah mereka yang merokok ketika melopong duduk di dalam tandas. Mereka kononnya untuk mencari ilham. Mereka merokoklah sambil bertelur. Mereka seronok tetapi kita yang sakit hidung dan mulut. Apalagi kita yang ada penyakit asma.
Gianlah itu. Namun mereka mesti pandai-pandailah merokok. Tengah terduduk di dalam tandas pun merokok. Bagi mereka, itu seronok. Kita yang tidak merokok bagaimana?
Seperkara lagi ialah geng-geng yang merokok di tangga-tangga bangunan. Sudahlah tempat ini tiada udara ditambah lagi dengan asap-asap rokok - tahu-tahu sajalah keadaannya. Apabila kita sindir mereka kata 'kami fogging' untuk halau nyamuk. Mereka ini pandai menjawab.
Soalnya ialah merokok biarlah berpada. Maksudnya merokok di tempat yang tidak mengganggu orang lain. Kalau mereka ada hak untuk merokok, kita yang tidak merokok, ada juga hak untuk menikmati kesegaran udara. Kalau udara sudah tercemar, alamat tiada yang selamat.
Marilah kita membantu mereka merokok untuk BERHENTI MEROKOK! Sedarlah dunia ini milik kita bersama.

Thursday, November 19, 2009

TRAFIK JEM TERUK DI PUTRAJAYA


PERKARA lama yang masih menghantui beberapa kawasan pejabat kerajaan di Putrajaya ialah kesesakan lalu lintas dan parkir. Kita yang beroperasi di Kompleks E mungkin antara tempat paling teruk mengalami gangguan kesesakan trafik dan juga kekurangan parkir. Entah bagaimana boleh terjadi?
Saya yakin kesesakan ini berpunca daripada ketiadaan tempat untuk meletak kenderaan yang cukup. Kalau ada pun, parkir tersebut dikhususkan untuk para pegawai sahaja. Justeru itulah, sepanjang jalan keluar dan masuk ke pejabat kerajaan penuh dengan kenderaan. Ini disebabkan oleh penjawat awam yang membawa kenderaan. Keadaan ini disesakkan pula oleh kenderaan pelanggan yang datang untuk berurusan dengan pelbagai pejabat kerajaan.
Diceritakan kawan, beberapa tahun lepas keadaan ini tidak terjadi. Malah saya rasakan tidak ada orang yang menyangka bahawa keadaan ini akan terjadi. Namun begitu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed sudah menjangka keadaan ini akan berlaku. Sebab itulah beliau mahu moneral dibina, jalan rayanya dibuat besar, tempat parkir khas untuk kenderaan disediakan dan bas-bas yang disediakan untuk penjawat awam. Tambang hanya 50 sen!
Pada bulan Ramadan lepas, kesesakan untuk balik memang membingungkan. Saya sendiri pernah tersangkut 40 minit semata-mata mahu keluar dari tempat parking. Kalau biasanya tidak sampai 5 minit keluar, keadaan kala ini menaikkan sedikit kemarahan hati. Mana tidaknya, kita manusia ini langsung tidak mahu beralah. Masing-masing ingin keluar cepat dan enggan memberi laluan kepada orang lain.
Sehubungan itu, kita berharap langkah yang akan diambil oleh Perbadanan Putrajaya untuk memperbaiki keadaan ini amat dialu-alukan. Kita jangan begitu mengharap kepada anggota-anggota polis trafik sahaja. Kesian dengan mereka yang terpaksa menguruskan pergerakan kenderaan setiap masa.
Jadi, berbudi bahasalah ketika berkenderaan.

Wednesday, November 18, 2009

BULAN HAJI MENJELMA LAGI!




SALAM Haji. Hari ini 1 Zulhijjah. Hari ini umat Islam berkumpul di tanah suci Mekah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah Haji. Moga mereka akan beroleh Haji Mabrur dan sentiasa berada di dalam keadaan sihat sejahtera.
Hari ini juga anak-anak dan adik-adik kita menduduki SPM. Mari kita doakan kejayaan mereka. Kejayaan mereka kejayaan kita juga. Mana ada ibu bapa mahu melihat anak-anaknya gagal atau terkandas. Mereka telah melakukan persediaan rapi. Lainlah yang enggan atau tidak mahu belajar. Kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka. Kesungguhan mereka pasti akan mendapat ganjaran terutama daripada Allah Taala. Saya ingat kata-kata Dr. Asri, bekas Mufti Perlis bahawa tiada guna bawa air atau pensil yang telah didoakan ke dewan peperiksaan sekiranya anak-anak ini tidak belajar juga. Belajar...belajar dan berusaha sahaja yang akan memastikan kejayaan mereka. Insya-Allah.
Saya masih ingat zaman kita dulu. Mungkin kerana orang tua kita kurang menyedari betapa pentingnya pelajaran, mereka hanya berserah kepada kemampuan kita. Mereka bukan tidak mahu kita berjaya. Mereka tidak tahu atau kurang faham bagaimana membantu anak-anak mereka untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran.
Anak-anak hari ini patut bersyukur. Banyak kelas tuition. Banyak guru yang membuka kelas tambahan. Malah tidak kurang orang perseorangan yang sengaja menyediakan kemudahan belajar percuma untuk mereka. Berbeza dengan zaman kita. Keadaan seperti ini bukan sahaja kurang tetapi kesedaran masyarakat kurang. Jangan salahkan mereka. Salahkan diri kita.
Entahlah kalau anak-anak hari ini tidak sedar akan kepentingan pelajaran kalau kerajaan telah belanja begitu banyak duit. Ibu bapa, macam kita ini, juga telah banyak berkorban. Kita bukan minta dibalas tetapi dihargai. Bak kata sesetengah orang, setinggi gunung pun duit diberikan kepada ibu bapa, ianya tidak akan dapat membalas jasa mereka.
Jadi, marilah kita gunakan bulan baik ini untuk pengorbanan famili dan agama kita. Yakinlah Allah sentiasa bersama kita. Doa kita sebagai ibu bapa beguitu mustajab untuk anak-anak. Restu ibu bapa, Allah akan merestui kejayaan anak-anak kita.
Malaysia boleh. Selamat Menyambut Bulan Haji.

Tuesday, November 17, 2009

BERSYUKUR PADA APA YANG ADA!




Bagaimanakah kita menyatakan syukur kita ke hadrat Allah Taala? Masih ramai daripada kita tidak mengetahui caranya. Banyak caranya. Salah satu cara terbaik ialah dengan menunaikan solat lima waktu sehari semalam kepada-Nya. Ini merupakan tiang asas di dalam agama Islam. Pernahkah kita menunaikannya?
Saya amat yakin dengan menunaikan solat ini, maka, rasa yakin kepada kewujudan Allah memang kuat tersemat di hati kita. Apa sahaja kita buat berpaksi kepada Allah. Malah ke mana-mana sahaja kita pergi, Allah bersama kita.
Jadi, bersyukurlah dengan apa yang dianugerahkan-Nya kepada kita. Kita bersyukur dapat hidup di dunia fana ini. Kita patut bersyukur dengan apa yang kita ada. Jangan bandingkan hidup kita dengan orang yang berada di atas kita. Bandingkan apa yang kita ada dengan orang yang di sebelah kita yang sedikit kurang. Bukan apa, hanya sebagai peringatan buat kita. Seterusnya kita bersyukur kepada apa yang ada.
Nikmatkah kita ada dua biji mata yang cukup baik? Cuba lihat rakan kita yang tiada penglihatan. Nikmat ini cukup besar. Jangan kita bandingkan mereka yang ada banglo dengan rumah kita yang hanya ada rumah teres atau hanya tinggal di flat! Bersyukur sahaja kerana kita berupaya membelinya.
Dengan bersyukur dengan apa yang kita ada, kita akan sentiasa ingatkan Allah. Hidup kita bahagia. Minda kita tenang dan kita setiap saat ceria.
Kita juga amat bersyukur punya anak-anak yang comel, jawak dan cerdik. Sayangilah mereka. Mereka pasti akan menyayangi kita.

Monday, November 16, 2009

OH...HUJAN...OH ...HUJAN...




ITULAH lagu popular sedikit masa dulu. Lagu yang diistilahkan sebagai lagu berantai. Mana tidaknya, katak panggil hujan kerana takutkan ular makannya. Seronok dengar lagu tersebut!
Namun sekarang musim tengkujuh. Di mana-mana hujan turun dengan lebat. Kita yang ada anak-anak kecil waspadalah sikit. Kalau tidak kita akan meredah hujan dan air laut untuk mencari mereka. Sudah terlalu banyak kisah sedih terpapar di media kita.
Begitupun, hujan membawa rahmat untuk kita juga. Jangan salahkan takdir. Hujan atau panas ia anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Kita sebagai manusia hanya bersedia menghadapinya.
Kedua-dua fenomena alam ini turut membawa pelbagai jenis penyakit. Untuk itu, kita harus menjaga kesihatan diri. Penyakit seperti taun dan denggi sentiasa menunggu masa ketika kita lalai. Sehubungan itu, sebelum ia menjangkiti kita, potong penyakit tersebut daripada mendekati. Cegah sebelum parah.
Kita patut bersyukur banyak dengan anugerah Allah buat kita. Di mana sahaja kita di Malaysia ini, kita beruntung. Kita jauh daripada malapetaka yang besdar. bencana yang kecil itu peringatan Allah buat kita. Kita janganlah lalai. Sedarlah kelemahan diri kita. Jangan jadi seperti Firaun yang tidak pernah sakit. Apabila ini terjadi, beliau bongkak dan akhirnya mengakui sebagai Tuhan. Jauhlah sikap sombong, ego, bangga diri dan fitnah-memfitnah.
Bersyukur dengan apa yang kita ada.

Sunday, November 15, 2009

SEPERTI KATAK DI BAWAH TEMPURUNG




ITULAH peribahasa yang paling sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga tapi tinggal keseorangan. Waktu inilah kita panggil mereka dengan Suami Tinggal atau Isteri Tinggal. Kalau ada anak-anak menemankan, tiada banyak masalah. Ini keseorangan.
Banyak sebab keseorangan waktu ini. Urusan kerja dan terpaksa meninggalkan keluarga kerana berpindah tugas. Ada pula yang terpaksa berpisah kerana bercerai(ini tak tahu siapa yang patut disalahkan). Belum kahwin kerana masih tercari-cari jodoh. Sengaja hendak tinggal keseorangan kerana minat kesunyian. Ada pula yang enggan diganggu kehidupannya. Entah banyak lagi.
Banyak cabaran kalau keseorangan. Apa-apa pun boleh terjadi. Ada kisah mereka yang mengalami sakit serius dan akhirnya mati keseorangan. Maklum tiada sesiapa di sisi. Ada pula terpaksa melihat dinding sahaja kerana masuk penjara. Mereka ini tiada masalah kerana masalah disebabkan oleh perbuatan sendiri.
Namun begitu kalau kita tinggal dengan masyarakat , janganlah mengetepikan diri. Maksudnya menjauhkan diri daripada masyarakat. Kita perlu bersosial. Kalau tidak, baik kita tinggal di gua atau pulau. Hiduplah seorang diri di sana. Di sana mungkin ramai kawan yang tidak boleh berkomunikasi dengan kita!
Jadi, janganlah beria-ia hendak tinggal seorang diri. Parah dibuatnya. Kita manusia yang memerlukan teman. Belum ada teman hidup carilah seorang. Bukan susah. Carilah yang sesuai dengan diri kita.

Saturday, November 14, 2009

PTK MENGUJI KEFAHAMAN BEKERJA





Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) merupakan satu komponen dalam Sistem Saraan Malaysia yang diperkenalkan bermula 1 November 2002 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002. Semua penjawat awam yang berkelayakan mesti mendudukinya. PTK ini merupakan satu mekanisme pengukuran kompetensi yang memainkan peranan dalam menentukan standard dan tahap pengurusan kompetensi pegawai. Tujuannya untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dalam perkhidmatan awam dan mampu menangani cabaran semasa.
Memang PTK ini amat perlu untuk penjawat awam. Ia bukan sahaja menonjolkan kebolehan dan kreativiti mereka dalam aktiviti semasa tetapi sebagai kesinambungan melahirkan penjawat awam yang betul-betul berkeyakinan tinggi. Saya mengambil contoh hasil daripada kehadiran pegawai ke PTK.
Ada kalangan mereka tidak pernah berkomunikasi sesama sendiri. Sebab itu ada yang pening kepala atau sakit teruk semasa PTK. Namun setelah melaluinya, mereka menjadi orang yang ceria dan malah mereka semakin yakin dengan diri sendiri.
Saya yakin ramai penjawat awam mendapat manfaat daripada PTK ini. Tugasan yang diberi dan malah dibentangkan baik secara inividu atau kumpulan sebenarnya amat baik kepada kita sendiri. Kita dapat lihat kemampuan sendiri. Kita juga dapat melihat di mana kita berdiri sebenarnya. Kita juga dapat melihat kebolehan rakan-rakan.
PTK telah banyak berubah baik dari segi mata pelajarannya ataupun tempoh mendudukinya. Jadi, jadikan PTK ini landasan untuk melihat 'kekuatan atau kelemahan' diri sendiri.

Wednesday, November 11, 2009

SAHABAT SEJATI BAWA KE MATI




MEMPERKATAKAN berkenaan seorang sahabat, kita mesti wujudkan suasana seperti zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Sahabat-sahabat baginda s.a.w. bagai bintang. Mereka merupakan teman di kala senang. Sahabat ini amat juga merasai kesusahan Nabi s.a.w. di kala susah dan perit.
Inilah yang harus dimiliki oleh setiap insan. Apakah kita ada sahabat seperti ini? Mungkin ada. Namun mereka amat sedikit. Masa masih terluang untuk kita membentuk ikatan seperti ini. Tidak salahnya kalau kita juga mewujudkan sahabat di kalangan berlainan jenis. Namun kita ada batasnya.
Inilah yang ingin saya perkatakan. Kita miliki ramai sahabat seperti Ustaz Hadi, Ustaz Serozi, Basiron, Haji Ismail Hashim, Ustaz Khairuddin (sekadar menyebut beberapa nama) yang kembali ke tempat asal untuk menyambung khidmat bakti di bumi sendiri. Kehilangan mereka mewujudkan sahabat baru. Kesian kita orang yang baru ini pun akan mengikut mereka. Pak Ujang begitu rapih dengan kami. Hampir 20 tahun di Sarawak. Awal bulan depan beliau akan bertugas kembali di Kuala Lumpur. Kami amat kenal beliau dan keluarganya. Satu keluarga yang betul-betul mernghayati sifat sahabat. Tidak payah suruh atau ajak, mereka akan menghulurkan tangan dan kaki secara mudah.
Inilah dia sahabat. Aku doakan semoga keluarga Pak Ujang akan tetap ingat kami masyarakat Islam di Matang Jaya. Kedatangannya nanti tetap ditunggu.
Sahabat setia sahabat hingga ke mati!

Tuesday, November 10, 2009

MASJID BESI YANG INDAH





SALAH sebuah mercu tanda kegemilangan terbaru umat Islam di Malaysia ialah Masjid Besi yang baru dibuka di Putrajaya. Jumaat lepas saya sempat bersolat Jumaat di situ. Memang indah. Kalau tak silap saya, solat Jumaat ini dibuat siaran langsung oleh TV1.
Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Sultan Mizan. Baginda yang merasmikannya. Masjid ini begitu kreatif pembinaannya. Bayangkan rangka dan inti masjid ini diliputi 70% keluli. Walau bagaimanapun, anda tidak berasa panas ketika solat. Inilah keistimewaan Masjid ini.
Mungkin ia agak baru, maka, pembangunannya masih rancak dibuat. Umpamanya, jalan-jalan sekitarnya masih dalam proses pembinaan. Tempat wuduknya cukup besar dan mengujakan. Sesiapapun akan terharu ketika mengambil air sembahyang.
Sefahaman saya, masjid ini kedua selepas Masjid Putra. Sehubungan itulah, pembinaannya begitu ditunggu-tunggu jemaah apalagi Masjid Putra yang semakin penuh dengan umat Islam.
Kalau anda berkesempatan ke sini, datanglah berjemaah. Jangan hanya melihat atau bersiar-siar sekitarnya. Pemandangan yang menarik memang menjadi tarikan di sini. Tasik dan pokok-pokok menghijau pasti akan memenuhi keinginan masyarakat yang mengunjunginya.
Kita berharap dengan adanya Masjid Besi ini, maka, syiar Islam akan lebih rancak dan berkembang.

Monday, November 9, 2009

KREATIFKAH KITA?





Minggu lepas aku sempat bersama pada Majlis Pelancaran Hari Inovasi KKM di PICC. Ramai yang hadir. Majlis ini dirasmikan oleh Y.B. Dato' Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan kita.
Di samping majlis perasmian, ada juga pameran diadakan. Aku rasa seluruh warga KKM di Malaysia ini ada yang diwakili. Apapun, bos atau wakil hadir untuk menyatakan sokongan warga KKM kepada Hari ini. Itulah penting. Pertandingan inovasi dan laman web turut diadakan. Mereka yang menang terima hadiah. Mereka yang gagal puashati kerana dapat turut serta.
Aku ingin menyentuh berkenaan inovasi ini. Kalaulah bos-bos termasuk diri kita menggalakkan inovasi baik dari segi kreatif membuat perubahan cara bekerja atau sikap, aku pasti kita akan lebih maju. Inilah yang terjadi dengan penubuhan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja atau KMK contohnya. Cadangan diberi. Cubaan dibuat. Kalau sesuai dilaksanakan.
Selama 20 tahun bekerja aku lihat kita punyai ramai penjawat awam yang betul-betul kreatif. Cuba kita tanya diri kita. Adakah kita sebagai bos pernah memberi peluang kepada orang bawahan kita mencetuskan atau memberi idea berkenaan suasana kerja mereka? Aku rasa dan yakin, amat kurang! Kita hanya mengutarakan idea kita. Mereka tidak dilihat. Malah untuk memberi orang bawahan peluang pun kurang. Itulah keistimewaan kita!
Kita tukar atau ubah stail. Bagaimana kita dengar idea orang bawahan kita. Contohnya kalau dia ahli fotografi, biar dia cadangkan gambar yang diambil untuk digunakan di dalam penerbitan kita. Bagaimana? Kepada aku, mereka ini kreatif dan beridea. Terimalah. Mereka ada rasional mencadangkannya.
Inilah sebenarnya antara objektif tersurat Hari Inovasi ini diadakan. Marilah kita gunakan Hari ini sebagai satu wadah untuk kita memberi kreativiti kita kepada kebaikan tempat kita bekerja.