Thursday, January 28, 2010

APAKAH ERTI SEBENAR PERPADUAN?
















Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957. Sabah dan Sarawak menyertai penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Kalau dikira dari segi umur manusia, usia ini begitu matang dan cukup baligh. Saya yakin kemerdekaan negara kita sudah betul-betul bebas dari aspek kemanusiaan dan penjajahan asing. Namun mengapakah sehingga ke saat ini, soal perpaduan atau integrasi sesama kaum dan wilayah masih menjadi persoalan utama?
Perkara ini menjadi kupasan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dari UIA ketika berceramah di Masjid Al-Muhajirin, Matang Jaya pada 27.1.2010 lepas. Beliau menyatakan bahawa perppaduan sepatutnya bermula dari rumah. Dalam sesebuah keluarga pasti ada suami-isteri dan anak-anak. Kalau hendak memupuk serta mengukuhkan perpaduan yang sejati, hendaklah bermula dari rumah. Cuba anda fikir kata-kata ini.
Perpaduan hari ini kita boleh kaitkan dengan Gagasan 1 Malaysia, Kebudayaan Kebangsaan, sekolah kebangsaan dan banyak lagi. Utuhkah perpaduan ini hari ini?
Saya sendiri yang sudah seusia umur Sarawak dan terlepas daripada penjajahan Inggeris, masih terasa perpaduan yang ada masih tidak stabil. Kita lihat dan dengar sekeliling kita. Banyak kekurangan. Kalau ada pun ianya masih perlu diperbaiki dan dikemaskan. Cuba renungkan apabila berlaku sedikit perselisihan rasa antara dua sahabat berlainan kaum dan agama, ramai yang tersentak. Ini perkara terlalu kecil. Keadaan diburukkan oleh kenakalan sesetengah pihak yang mengambil isu ini menjadi tajuk utama mereka.
Kepada segelintir rakan-rakan yang belum pernah ke Sarawak, intai-intailah keadaan hidup bermasyarakat di tempat kami. Kami senang sesama sendiri. Malah kahwin campur sudah menjadi amalan kami. Ada Iban kahwin Bidayuh. Ada Melayu kahwin Cina. Ada Melanau kahwin Iban. Malah percampurannya cukup banyak. Keadaan ini sebenarnya amat mengutungkan perpaduan umum. Tidaklah sesuatu kaum itu lebih mendewakan kaumnya daripada kaum lain apabila keluarga ada bercampur -baur.
Jadi, untuk mengeratkan lagi perpaduan yang sedia ada, jangan persoal sangat keistimewaan yang diberikan kepada sesuatu pihak. Jangan mudah mendengar khabar angin tentang keburukan orang lain. Dengar sahaja berita sahih daripada pihak berkuasa. Saya yakin, perpaduan akan dapat dicapai tanpa sebarang keraguan dan kesukaran.
Ingat kata-kata nenek moyang kita, perpaduan asas perpaduan umah.

No comments:

Post a Comment