Friday, December 18, 2009

TAHUN BARU ISLAM KURANG DIKENALI MUSLIM?






TAHUKAH kita hari ini 1 Muharram 1431 Hijrah? Saya pasti ada yang tidak kenal tahun hijrah ini. Kita sebenarnya terlalu sukakan tahun Masihi.
Tahun ini amat kurang kita raikan. Tiada kelibat pemuda Islam membawa bendera atau menyanyi di jalan-jalan untuk meraikan ketibaan bulan Islam ini. Kalau dihayati perjuangan Hijrah amat sinonim dengan perjalanan syiar Islam. Mudahnya tanpa hijrah tiadalah Islam.
Kalau diteliti penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah dahulu membawa banyak perubahan dan keuntungan kepada Islam. Islam dan umatnya disegani. Pengikutnya disanjung. Malah ramai masuk Islam tanpa rasa takut kepada orang-orang kafir. Inilah hakikatnya.
Apa yang kita perlu buat sekarang? Kita juga boleh berhijrah. Hijrahkanlah diri kita daripada perbuatan jahat kepada menjadi umat bersikap baik. Macam-macam perkara kita boleh berubah. Kalau kita kaki tikam nombor, kita perlu membuangnya jauh-jauh. Kalau kita kaki ketagih rokok, kurangkan ataupun hapuskan kegianan merokok dalam diri kita.
Di samping itu, kita juga perlu banyak muhasabah diri. Umar Al-Khatab antara sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling banyak muhasabah diri. Umar banyak menangis apabila mengenang zaman jahilliahnya. Sewaktu menjadi Khalifah pun Umar manusia paling takut kepada balasan Allah Taala walaupun baginda salah seorang yang dijanjikan Syurga. Baginda kerap pengsan apabila mendengar bacaan Al-Quran dan nama ALLAH.
Kita bagaimana? Allah sahaja yang tahu. Marilah kita banyak mengenal diri daripada kita mengenal orang. Kalau kita tidak tahu siapakah diri kita, itu sebabnya kita menjadi ego dan rakus.
Muhasabahkan diri kita setiap saat!

No comments:

Post a Comment