Saturday, October 17, 2009

SOLAT HAJAT UNTUK KAWAN

SEMALAM (Hari Jumaat Malam Sabtu) aku, Ustaz Haji Md. Khir, Haji Dawi, Arfan, Mejar Haji Sulaiman, Cikgu Norgi dan anaknya serta seorang teman berkesempatan ke rumah Cikgu Awang untuk solat hajat. Kami sempat bersolat Maghrib dan Isya berjemaah dengan diimamkan Ustaz Haji Md. Khir. Tujuannya adalah untuk memohon kessembuhan penyakit Cikgu Awang. Kesian dia.
Kami membaca surah Yassin dan didoakan juga oleh Ustaz Haji Md. Khir. Mengikut Cikgu Awang kesihatan beliau sering terganggu. Adakalanya dia betul-betul sihat. Dalam beberapa waktu beliau begitu lemah dan memerlukan rawatan susulan di hospital. Sekali ambulan menjemput beliau di rumah kerana tidak sedarkan diri. Alhamdulillah malam tadi, kesihatannya cukup baik dan bercerita keadaan dirinya.
Sebagai orang Islam, Allah tumpuan kita. Allah juga permohonan kita. Allah yang menentukan segala-galanya. Keadaan Cikgu Awang mengajar kita mengenai betapa tingginya Allah sebagai tumpuan umat Islam. Di samping bersolat fardu, kita disunatkan solat sunat. Dalam pada itu, kita digalakkan berbuat baik. Kita disarankan banyak menderma. Malah apa sahaja kebaikan kita diseru membuat kebaikan.
Janganlah hanya waktu susah kita baru kenal Allah. Allah mengingatkan kita bahawa Allah akan ingatkan kita sekiranya kita selalu ingat kepada-Nya baik waktu susah apalagi waktu senang. Jadi, jangan lupa berterima kasih kepada Allah dengan melakukan kebaikan.

No comments:

Post a Comment