Monday, October 19, 2009

SELAMAT MENUNAIKAN FARDU HAJI



ALHAMDULILLAH beberapa rakan di sekitar Matang Jaya termasuk saudara Hafaz, Saudara Nawi(Imam kami), Saudara Ibrahim, Saudara Zailani, Saudara Wan Razemi akan menunaikan fardu haji tahun ini. Beberapa hari ini telah diadakan majlis doa selamat. Terima kasihlah kerana menjemput kami. Aku paling terasa. Maklum aku masih di Putrajaya dan mungkin tidak kesempatan menghantar mereka ketika berangkat. Namun begitu, aku doakan mereka dapat menuanikan haji dengan sempurna dan mendapat haji mabrur.
Sebagai seorang yang pernah menunaikan fardu haji, memang ibadah ini paling mencabar. Kesabaran dan kecekalan hati adalah kekuatan sebenar. Bakal-bakal haji bukan sahaja berperang dengan keresahan fizikal tetapi emosi dan mental. Malah kekuatan mentallah tenaga utama. Inilah kelebihan mengerjakan haji.
Nasihat buat mereka, kerjakan haji dengan khusyuk. Insya-Allah kami di tanahair akan sentiasa mendoakan mereka. Jangan khuatir kami yang tinggal. Banyakkan ibadah kerana di sana panggilan haji begitu sayu. Pasti kepergian anda akan diiringi air mata suci. Gugurkan air mata itu di madinah dan Mekah. Biar basah tanah suci itu dnegan taubat dan kesucian hati anda. Kurangkan tawa. Banyakkan muhasabah diri. Banyak mengingat Allah. Maka, anda akan balik ke tanahair sebagai bayi yang baru lahir.

No comments:

Post a Comment