Wednesday, September 9, 2009

Nostalgia Menjelang Syawal

Kira-kira 35 tahun dulu, menjelang Syawal ramai yang sudah sibuk. Ada yang sibuk membuat kuih-muih dan tak kurang pula yang sibuk menjahit tirai tingkap dan juga membuat pakaian. Kalau nak membeli-belah waktu itu, ibu bapa kita tidak punya duit yang banyak. Keadaan ketika itu jauh berbeza keadaan sekarang. Itu zaman dulu.
Saya teringat arwah bapa, Haji Bibi, kalau berduit dia akan beli kain dan dia sendiri menjahit pakaian kami. Aku dan adik-adik Wahab, Haris (lelaki) arwah sendiri menjahit pakaian Melayu. Arwah boleh tahan menjahit. Adik-adik perempuan, Asmah, Milot, Zainab, Apon dan Zainon, mak yang buat. Kesian melihat mereka. Anak ramai. Syukur mereka dapat membentuk kami jadi anak-anak yang tidak lupa daratan walaupun pelajaran kami tidak seberapa.
Kami 12 adik-beradik. Empat meninggal - seorang berkubur di Sibu dan tiga orang lagi di Kuching. Setiap kali menjelang Ramadan atau Syawal, arwah bapa sibuk menebas dan membersih perkuburan mereka kecuali kubur adik di Sibu. Namun begitu, aku selalu mendoakan mereka selepas setiap solat. Moga mereka bahagia. Aku faham keperitan ibu apabila mereka meninggal. Ibu seorang yang cukup tabah. Terima kasih ibu. Terima kasih ayah.
Aku harap anak-anakku memahami kepayahan aku dan isteri. Mereka kami tatang secukupnya. Apa yang kami syukur, tiga anak kami tidak terlalu meminta untuk berhari raya. Apa yang kami beri, mereka terima. Cuma anak perempuan sedikit demand. Kami tidak kisah sangat kerana dialah anak bongsu kami. Kami sentiasa doakan kebahagiaan dan kesihatan mereka.

No comments:

Post a Comment